Hamzah bin Abdul Muttalib

Kisah 1 : Hamzah bin Abd Mutalib

Bersama Abu Jahal


Hamzah mendaki sebuah gunung untuk melihat Mekah. Dengan kudanya yang gagah, beliau mendaki naik ke atas bukit-bukit pasir. Meredah lembah-lembah, Hamzah amat teruja dalam melihat pemandangan yang indah.

 

Langit cerah dan terang. Gunung-gunung disinari dengan cahaya matahari. Butiran-butiran pasir yang berkilauan di bawah cahaya itu.

 

Sejak dari tadi Hamzah memikirkan tentang misi Rasulullah (saw). Hatinya terpaut dengan perjuangan Baginda (saw). Beliau membisikkan kepada dirinya:

 

“Memang benar, tiada tuhan selain dari Allah (swt). Al-Latta, al-Uzza, dan Munat hanyalah batu-batu yang diukir. Manusia yang mengukir dengan tangan-tangan mereka. Jadi mengapa aku perlu menyembah mereka?”.

 

Kuda-kuda liar berkeliaran dipadang pasir. Apabila terlihat seorang lelaki sedang memburu singa, kuda-kuda itu bertempiaran lari.

 

Sementara itu Nabi Muhammad (saw) sedang duduk di atas sebuah batu di sebelah jalan ke al-Masa yang terletak di antara bukit Safa dan bukit Marwah, seperti biasa Baginda (saw) duduk sambil memikirkan tentang misi Islam.

 

Baginda (saw) selalu memikirkan tentang pengikutnya dan mereka yang tidak mempercayai dan beriman kepada ajaran yang dibawanya, iaitu mentauhidkan Allah (swt).

Berdekatan dengan laluan ke al-Masa itu, terdapat sebuah rumah. Anjung rumah itu mengadap pada laluan tersebut. Terdapat dua orang kanak-kanak perempuan sedang duduk dianjung rumah itu. Mereka melihat Rasulullah (saw) sedang duduk di atas batu itu sambil memerhatikan langit, bukit-bukit dan gurun yang terbentang luas.

Dalam pada masa itu, Abu Jahal dan beberapa pengikut setianya dari Mekah muncul. Kedengaran ketawa dengan jelas walaupun jauh beberapa meter.

Abu Jahal dan pengikutnya menghampiri Rasulullah (saw). Matanya memandang dengan penuh perasaan yang jahat. Dia tersenyum sinis kepada Rasulullah (saw). Lalu dia berkata dengan nada yang tinggi:

“Lihatlah kepada ahli sihir ini! Lihatlah kepada orang gila ini! Dia tidak sedikitpun ketawa sebagaimana kita! Dia hanya berdiam diri!”

Para pengikutnya bergelak ketawa. Ketawa yang menyerupai ketawa syaitan memenuhi kawasan tersebut.

Kedua budak perempuan itu sejak dari tadi hanya duduk melihat apa yang akan berlaku. Mereka melihat Abu Jahal dan para pengikutnya hanya mengelilingi Rasulullah (saw) sambil ketawa terbahak-bahak dan amat menjengkelkan.

Tiba-tiba Abu Jahal mengaut pasir dengan kedua tangannya, lalu dia meletakkan pasir itu ke atas kepala Rasulullah (saw). Pasir itu memenuhi kepala Rasulullah (saw) dan jatuh ke muka dan pakaian Baginda (saw).

Bertambah kuat hilaian ketawa mereka. Tetapi Nabi kita, Nabi Muhammad (saw) hanya mendiamkan dirinya sahaja. Baginda (saw) amat sedih.

Kedua budak perempuan itu terkejut dengan perbuatan Abu Jahal, mereka berasa sakit hati dan sedih dengan perbuatan mereka itu ke atas Rasulullah (saw).  Setelah itu, Abu Jahal dan pengikutnya beransur pergi dari situ, sambil ketawa mengejek kepada Rasulullah (saw). Secara perlahan Rasulullah (saw) bangun, Baginda (saw) menepuk-nepuk pakaiannya dan membersihkan muka dan kepalanya. Lalu Baginda (saw) beredar dari tempat itu.

Kedua budak perempuan itu mengambil keputusan untuk memberitahu Hamzah. Dan mereka menunggunya.

Selang seketika, Hamzah muncul dengan kudanya. Lalu kedua budak perempuan itu menjerit memanggil Hamzah:

“Wahai pakcik, datang sini!”. Berulang-ulang mereka menjerit kepada Hamzah.

“Aba Amara!” jerit salah seorang budak perempuan itu.

Lalu Hamzah memberhentikan kudanya dan melihat kepada budak perempuan itu. Lalu budak perempuan itu berkata dengan perasaan yang sedih:

“Wahai Aba Amara, Abu Jahal telah membuat perkara buruk kepada anak saudaramu  Muhammad”.

Hamzah bertanya; “Apa yang dia telah lakukan?”

Lalu budak perempuan itu berkata:

“Abu Jahal telah melalui jalan ini. Dia telah membuli dan meletakkan pasir ke atas kepalanya.”

Perasaan marah Hamzah tidak dapat dibendung. Beliau terus memacu laju kudanya. Hamzah terus menuju ke Kota Mekah, ke Baitul Atiq, Ka’abah. Dia menyusup masuk dicelah-celah orang dan kebiasaannya dia akan memberi salam penghormatan kepada mereka setelah balik dari pemburuan.

Tetapi kali ini berlainan sedikit, beliau amat marah tentang apa yang dilakukan kepada anak buahnya (saw). Jadi seorang pun daripada mereka tidak disapa dan diberikan salam penghormatan. Mukanya amat masam dan beliau terus pergi kepada Abu Jahal.

Hamzah melompat turun dari kudanya bagaikan singa ingin menerkam. Beliau mengangkat busur panahnya lalu memukul kepala Abu Jahal. Abu Jahal berasa teramat sakit dan takut apabila dia melihat Hamzah yang berkeadaan yang begitu mengerunkan. Lalu dia berkata dengan lembut:

“Wahai Aba Amarah, dia telah menghina tuhan kita dan memesongkan pemikiran kita”.

Lalu Hamzah menjerit marah kepadanya:

“Engkau halang aku, jika engkau mampu”. Tiba-tiba Hamzah menjerit dan dengan lantangnya beliau berkata:

“Aku bersumpah, tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh-Nya”…

Hamzah tidak dapat mengawal lagi kemarahannya dan berkata:

“Mengapa engkau menganggunya? Tidakkah kau tahu yang aku adalah pengikut agamanya?”

Abu Jahal hanya mampu menangkup kepalanya dan berdiam. Dan para pengikutnya tadi semuanya lari bertempiaran, lari menyelamatkan diri masing-masing. Mereka terjerit-jerit kerana ketakutan.

Setelah itu, berjurailah air mata Hamzah pergi menuju kepada Rasulullah (saw), beliau pergi untuk melihat keadaan Rasulullah (saw). Beliau amat menyayangi anak saudaranya itu. Nabi kita, Muhammad (saw) berasa amat gembira apabila pakciknya, Hamzah bin Abu Mutallib telah memeluk agama Islam. Beliau kini telah menjadi kekuatan kepada agama Islam.

Lalu Rasulullah (saw) mengelarkannya sebagai Singa Allah dan Singa kepada rasul-Nya.

 

 

Kisah 2 : Hamzah bin Abd Mutalib

Kelahirannya


al-Hamzah telah dilahirkan pada 570 Masihi, iaitu pada tahun-tahun sekitar tahun Gajah. Walaupun beliau merupakan pakcik Rasulullah (saw), beliau juga merupakan adik angkat kepada Rasulullah (saw), kerana kedua mereka pernah disusukan oleh seorang wanita yang bernama Thwaibah.

 

Hamzah merupakan seorang yang berani dan kuat. Beliau menjadi seorang Muslim pada tahun ke-2 setelah Rasulullah (saw) menyatakan misi agama Islam kepada keluarganya.

 

Ramai orang tahu tentang keimanan Hamzah kepada Islam. Jadi, perkara itu telah membuatkan mereka menjadi gembira. Tetapi sebaliknya para penyembah berhala berasa amat sedih.

 

Sesetengah Muslim menyembunyikan keimanannya kerana mereka takut dengan orang-orang Quraish. Dan apabila Hamzah telah memeluk Islam, sebuah era baru bermula; pengikut-pengikut Rasulullah (saw) merasakan bertambah yakin dan kuat, ini menjadikan orang Quraish telah berasa gerun kepada mereka dan 1001 persoalan menghantui perasaan mereka.

 

Kisah 3 : Hamzah bin Abd Mutalib

Tahun ke-9 selepas misi Islam bermula


Pada tahun ke-9, misi dakwah Rasulullah (saw) berlalu, bilangan orang-orang Muslim bertambah ramai.

 

Umar al-Khattab amat tidak senang dengan perkembangan itu. Hatinya membuak-buak dengan perasaan yang marah. Suatu hari, dia mengambil pedangnya keluar untuk pergi membunuh Nabi Muhammad (saw). Umar menanyakan sahabatnya di mana kedudukan Rasulullah (saw), lalu dikhabarkan kepadanya:

 

“Dia bersama sahabatnya di dalam sebuah rumah berdekatan dengan Bukit Safa”.

 

Jadi Umar terus pergi ke sana. Di dalam perjalannya ke bukit Safa, seorang lelaki yang juga berasal dari puak Umar bernama Naim melintasi dan berkata kepadanya:

 

“Umar! Ke mana kamu hendak pergi?”

 

Dengan nada yang marah Umar menjawab:

 

“Aku ingin pergi membunuh Muhammad, kerana budak ini telah mencemar kesucian agama kita!”.

 

Sebenarnya Naim telah pun beriman kepada ajaran nabi Muhammad (saw) secara rahsia, lalu dia berkata kepada Umar:

 

“Jika kamu menyakiti Muhammad, Bani Hashim tidak akan membiarkan kamu hidup, lagi pun adik perempuan kamu dan suaminya juga telah memeluk ajaran Islam?”

 

Umar melenting kemarahan, kali ini perasaannya tidak dapat dibendung lagi.

 

“Apa? Adikku Fatimah?

 

Umar bergegas pergi ke rumah adiknya, semasa dia berhenti di luar pintu rumah adiknya, dia terdengar seorang lelaki sedang membaca ayat Quran.

 

Bacaan ayat-ayat Quran yang suci itu amat menyentuh kalbunya:

 

“Dengan Nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. To..ha.., Kami tidak menurunkan Qur’an kepadamu, supaya engkau menangung kesusahan…

 

Umar mengetuk pintu itu lalu terus masuk ke dalam rumah. Adiknya terus menyembunyikan helaian Qur’an itu kerana Umar mahu mengoyakkannya. Dia memukul adiknya sehingga darah mengalir dari bibir adiknya. Umar terasa bersalah. Dia terus keluar dan meninggalkan rumah itu.

 

Rasulullah (saw) dan beberapa sahabatnya masih berada di rumah yang berdekatan dengan bukit Safa. Baginda (saw) sedang mengajar mereka ayat Qur’an dan tentang kebebasan. Baginda (saw) membacakan kepada mereka ayat-ayat suci itu.

 

Dalam pada masa itu, mereka mendengar seorang lelaki menjerit-jerit agar dibukakan pintu sambil mengetuk-getuk pintu rumah itu dengan kuat. Seorang Muslim bangkit dan mengintai menerusi lubang tingkap.

 

Lalu Hamzah bin Abu Mutalib bertanya kepada lelaki itu: “Siapa itu?”

 

Lelaki itu menjawab : “Umar yang sedang memegang pedangnya…!”

 

Al-Hamzah berkata:

 

“Janganlah kamu risau. Bukakan sahaja pintu itu. Jika kebaikkan yang dipinta kita akan memberikannya, tapi jika sebaliknya, kita akan tamatkan riwayatnya dengan pedangnya!”

 

al-Hamzah bingkas bangun dan menyambut ‘tetamunya’ itu. Beliau membuka pintu itu dan bertanyakan:

 

“Bin al-Khattab, apa yang kamu mahukan?”

 

Lalu Umar menjawab:

 

“Aku datang untuk menyatakan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruhnya!”.

 

Lalu Rasulullah (saw) berkata:

 

“AllahuAkbar…!”.

Kisah 4 : Hamzah bin Abd Mutalib

Penghijrahan


Penduduk Yathrib terdiri dari suku kaum al-Khazraj dan Aus. Mereka telah berjanji kepada Rasulullah (saw) bagi membantu Islam dengan nyawa dan dirham mereka.

 

Semasa puak Quraish menindas orang Muslim, Rasulullah (saw) telah mengarahkan mereka untuk berhijrah ke Yathrib.

 

Jadi, umat Islam mula meninggalkan Mekah secara rahsia, seorang demi seorang dan kumpulan demi kumpulan. Hamzah bin Abu Mutalib juga berhijrah ke sana juga. Rasulullah (saw) antara yang terakhir dalam penghijrahan ini.

 

Semasa di Yatrib, Para penghijrah dan penyokong tidak sabar menanti ketibaan Nabi Muhammad (saw). Setiap hari mereka menantinya.

 

 

Kisah 5 : Hamzah bin Abd Mutalib

Pengorbanan


Para penyembah berhala membuat keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad (saw). Kerana itu, Jibrail (as) turun ke bumi dari langit untuk memberitahu perkhabaran itu tentang pakatan para penyembah berhala itu.

 

Lalu, Rasulullah (saw) meminta sepupunya Imam Ali bin Abi Talib (as) untuk tidur di atas katilnya agar membolehkannya untuk berhijrah ke Yathrib dengan selamat.

 

Imam Ali bertanya kepada Nabi Muhammad (saw):

 

“Wahai Rasulullah, adakah kamu akan selamat?”

 

Lalu Rasulullah (saw) menjawab: “Ya…!”

Imam Ali (as) amat lega mendengar jawapan itu. Beliau tidak langsung menghiraukan tentang dirinya apabila para penyembah berhala menyerang rumah Rasulullah (saw) nanti.

 

Jibril (as) turun ke bumi dari syurga lalu membacakan ayat al-Baqaroh ayat 207:

 

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

 

Ayat ini memuji akan keperibadian Imam (as) dan pengorbanannya.

 

Rasulullah (saw) tiba di Yatrib. Semasa baginda (saw) sampai, Yatrib telah ditukarkan namanya sebagai Madinah al-Munawwarah (kota yang bercahaya/ the illuminated city).

 

 

Kisah 6 : Hamzah bin Abd Mutalib

Sementara Di Mekah


Para penyembah berhala di Mekah telah menyerang rumah-rumah orang-orang Islam dan merompak harta mereka. Berita itu sampai kepada mereka di Madinah, mereka amat berdukacita mendengarnya.

 

Jadi, Rasulullah (saw) membuat keputusan untuk menghantar sebuah kumpulan orang-orang Islam bagi menahan para pedagang Quraish untuk menghukum perbuatan mereka.

 

Pada bulan Ramadhan, tahun pertama hijrah, Nabi kita, Nabi Muhammad (saw) memanggil Hamzah, singa Allah, dan memberikan beliau panji Islam yang pertama di dalam sejarah Islam.

 

Rasulullah (saw) mengarahkan Hamzah untuk membina kumpulannya iaitu seramai 30 para penghijrah agar meninjau dan merisik pedagang-pedangan yang melintasi kawasan Madinah.

Akhirnya Hamzah terjumpa pasukan pedangan Abu Jahal di sebuah daerah dikenali sebagai al-Ais.

 

300 pejuang ada bersama-sama Abu Jahal. Ini bermaksud pasukannya mempunyai bilangan 10 kali ganda dari pasukan Muslim.

 

Tetapi Hamzah, semoga Allah merahmatinya, dan para pengikutnya tidak gentar dengan pasukan Quraish itu. Mereka bersedia untuk bertempur dengan pasukan itu.

 

Tetapi Majdi bin Amru al-Jahni, seorang yang mempunyai hubungan baik antara puak Quraish dan orang Islam, datang ke tengah-tengah mereka untuk memujuk mereka agar tidak bertempur. Dan keadaan kembali tenang.

 

Hamzah bin Abu Muttalib amat bangga kerana beliau merupakan orang pertama yang menerima panji Islam dari Rasulullah (saw). Berkenaan dengan itu, beliau telah melantunkan beberapa bait puisi (terjemahannya sahaja):

 

Dengan arahan Rasulullah, panji Islam ini berkibar oleh aku

belum seorang pun sebelum ini pernah mengibarkannya

Panji ini adalah kejayaan dari seorang yang bermaruah

Kekasih Allah yang kelakuannya adalah sebaik kelakuan

 

Kemudian beliau berpuisi tentang pertempuran dengan Abu Jahal:

 

Suatu malam apabila mereka (para penyembah berhala) berbaris, mereka adalah ramai.

Dan kami semua adalah penyebab kemarahan mereka.

Dan apabila kami melihat antara satu sama lain, mereka dudukkan unta mereka dan berehat.

Dan kami memahami ke mana sasaran anak panah mereka.

Dan kami berkata kepada mereka:

“Pengikut kami dinaungi oleh Allah. Tetapi kamu tidak memiliki apa-apa naugan kecuali kesesatan”.

Di sana Abu Jahal menjadi tidak keruan. Jadi, dia menjadi orang yang kecundang.

Dan Allah telah membuatkan pakatan Abu Jahal berundur.

Di sini kami hanya mempunyai 30 orang pejuang.

Dan mereka lebih dari 300 orang.

 

Kisah 7 : Hamzah bin Abd Mutalib

Bersama Rasulullah (saw)


Semasa di al-Asheera, Rasulullah (saw) sedang merehatkan dirinya, manakala Hamzah bin Abdul Mutalib sedang memegang panji pasukannya.

 

Parajurit Islam sedang berkawal bagi menunjukkan pasukan itu bersedia dan itu telah berjaya membuatkan pasukan pedagang Quraish menjadi tidak senang.

 

Pasukan Quraish mengumumkan peperangan ekonomi terhadap orang Muslim. Mereka telah menyerang rumah-rumah orang Muslim yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Mereka menyarankan peperangan menentang orang Muslim ke seleruh jazirah Arab. Orang Quraish memaksa puak-puak Arab agar menyerang Yathrib.

 

Nabi Muhammad (saw) mahu menghukum orang Quraish. Mereka memikirkan hukuman dan cara yang sepadan untuk menghukum mereka dengan menahan pasukan pedagang mereke ke Sham.

 

Al-Hamzah pergi berjumpa Nabi Muhammad (saw) dalam setiap perjumpaan.

 

Nabi Muhammad (saw) mendapat berita bahawa para pedagang yang diketuai oleh Abu Sufyan sedang menuju pulang dari Syam ke Mekah. Jadi sekali lagi, Nabi Muhammad mengarahkan umat Islam bagi menahan para pedagang Quraish itu.

Pada 12 Ramadhan tahun ke-2 hijrah, nabi kita Nabi Muhammad bersama 313 para muhajirin dan ansar keluar dari kota Madinah.

 

Abu Sufyan mendengar berita tentang perkembangan tentera Muslim yang mahu menyerang pasukan pedagangnya. Lalu, dia dengan segera menghantar seorang pembantunya ke Mekah bagi memberitahu orang Quraish akan keadaan yang sedang dihadapi oleh mereka.

 

Sementara di Mekah, Abu Jahal menerima perkabaran itu dan mula memikirkan helah untuk menumpas umat Islam. Abu Jahal melihat situasi ini boleh menghancurkan umat Islam dan orang Muslim. Jadi Abu Jahal mula menyeru ke semua orang Quraish bersatu  menentang orang Muslim. Dia dan ketua-ketua kabilah Arab telah berjaya mengumpul seramai 950 orang parajurit kufar. Abu Jahal mengepalai pasukan tentera itu dan pasukan itu mula bergerak menuju ke Badar, tempat di mana tentera Islam berkhemah.

 

Setelah lima hari perjalanan mereka sampai di Badar, iaitu pada 17 Ramadhan, kedua pasukan tentera telah bersiap untuk bertempur. Para tentera kufar mula memukul gendang perang. Umat Islam tidak gentar, mereka yakin akan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah (swt).

 

Jibril (as) turun ke dunia dari syurga. Ia membacakan ayat kepada Rasulullah (saw):

 

“…jika mereka mahu berdamai, maka berdamaikan…”

 

Rasulullah (saw) akur dengan wahyu yang diturunkan, lalu baginda (saw) melaungkan perdamaian, dengan itu mereka mengiktiraf kepentingan masing-masing. Tetapi Abu Jahal menolak pelawaan itu. Baginya, dia mampu untuk menghancurkan Islam, dengan kekuatan yang dimiliki iaitu 3 kali ganda dari tentera Muslim. Dia begitu yakin.

 

Kedua pasukan tentera bersedia untuk bertempur. Salah seorang tentera penyembah berhala itu berteriak:

 

“Ya Muhammad..! Majukan lelaki yang berani dari kalangan kamu untuk menentang lelaki dari kalangan kami…!”.

 

Jadi, nabi kita, Nabi Muhammad (saw) berkata:

 

“Ubaidah bin al-Harith, Hamzah bin Abdul Mutalib, dan Ali bin Abu Talib, berdirilah kamu”.

 

Dengan semangat mereka berdiri. Mereka telah bersedia sejak awal lagi. Mereka telah redha untuk berjuang dan mati di jalan Allah (swt).

 

Mereka maju ke tengah medan pertempuran, manakala di sebelah pihak parajurit kufar, 3 orang pahlawan kufar juga maju ke hadapan.

 

Ubaidah bin al-Harith berdiri berhadapan musuhnya Utbah bin Rabi’ah.

 

Imam Ali bin Abu Talib berdiri berhadapan dengan al-Walid bin Utbah.

 

Manakala Hamzah bin Abdul Mutalib berdiri berhadapan Shai’ba bin Rabi’ah.

 

Sekali lagi sejarah di dalam dunia Islam tercipta. Kerana nama-nama yang hebat ini telah mengharumkannya.

 

Pertarungan bermula, dengan pantas Hamzah memukul dan berjaya menumbangkan Shai’ba.

 

Begitu juga Imam Ali (as) beliau juga dapat menundukkan dan membunuh musuhnya itu.

 

Bergitu juga Ubaidah, beliau juga mula memukul musuhnya, tetapi musuhnya juga membalas dengan pukulan demi pukulan sehingga dia terjatuh ke atas tanah dan tercedera. Hamzah dan Ali telah membantu Ubaidah sehingga Utbah dapat ditewaskan. Selepas itu mereka berdua mengusung Ubaidah ke khemah bagi mengubati dan membaluti lukanya.

 

Peperangan bermula, apabila ramai para pejuang pihak musuh iaitu pihak penyembah berhala gugur seorang demi seorang, Abu Jahal menjadi gusar, lalu mengarahkan para pejuang dan pengikutnya melancarkan satu serangan yang besar.

 

Walau pun begitu, tentera Muslim berdepan serangan itu dengan penuh keberanian, jiwa mereka punuh keyakinan kepada Allah (swt). Oleh kerana itu, Allah telah menjamin kemenangan kepada mereka.

 

Serangan demi serangan dilakukan telah menyebabkan Abu Jahal tewas dan mati, begitu juga ramai dari ketua-ketua para penyembah berhala gugur di dalam pertempuran itu. Jadi, ini telah membuatkan askar-askar kufar menjadi kucar-kacir dan ahirnya mereka lari menyelamatkan diri masing-masing.

 

 

Kisah 8 : Hamzah bin Abd Mutalib

Balas Dendam


Orang-orang di Mekah mendengar tentang berita kekalahan itu. Para wanita tentera-tentera penyembah berhala menangis kerana kematian keluarga lelaki mereka yang menyertai serangan tersebut. Tetapi bukan Hindun, isteri Abu Sufyan. Dia hanya mendiamkan dirinya sahaja sejak mendengar khabar buruk itu.

 

Orang bertanya kepada Hindun:

 

“Mengapa engkau tidak menangisi ke atas kematian saudara, bapa dan pakcik engkau?

Lalu dia berkata:

 

“Aku tidak menangisi mereka kerana tidak mahu menambahkan lagi kegembiraan Muhammad dan para sahabatnya atas nasib yang menimpa!”

 

Hindun berfikir tentang bagaimana dia boleh membalas dendam ke atas Nabi Muhammad (saw) atau Imam Ali (as) atau Hamzah bin Abdul Muttalib.

 

Hari berganti hari, perasaan mendendam golongan kufar Mekah membuak-buak, Hindun telah  menyarankan para penyembah berhala bagi menuntut bela ke atas mereka. Kerana perasaan dendam itu, seramai 3,000 orang bala tentera dapat dikumpulkan untuk menyerang umat Islam di Madinah. Hindun bin Utbah, isteri Abu Sufyan juga turut serta dalam peperangan kali ini. Dia disertai juga oleh 14 orang perempuan. Mereka memainkan peranan dalam memukul gendang perang bagi menaikkan semangat tentera-tentera kufar.

 

Di Mekah terdapat seorang hamba yang kuat namanya Wahsyi. Hindun telah pergi berjumpanya. Dia menyatakan dendamnya kepada Wahsyi, dia menjanjikan emas dan dinar yang banyak sekiranya Wahsyi dapat membunuh samaada Nabi Muhammad (saw) atau Imam Ali (as) atau Hamzah bin Abdul Muttalib (ra).

 

Lalu Wahsyi berkata:

 

“Sukar aku untuk memukul Muhammad kerana para sahabat yang disekelilingnya”.

 

“Sukar aku untuk memukul Ali kerana dia seorang yang sungguh peka”.

 

“Tapi aku mungkin dapat membunuh Hamzah kerana sikapnya yang garang menjadikan dia tidak pedulikan perkara sekelilingnya”.

 

Hindun berasa sungguh gembira, dia memberikan sedikit emas kepada Wahsyi. Dia asyik memerhatikan tombak Wahsyi dalam persediaannya untuk membunuh Hamzah (singa Allah).

 

Para askar kufar telah sampai di al-Abwaa, sebuah kawasan berhampiran Madinah, di mana Aminah ibu Nabi Muhammad (saw) telah dikebumikan sektar 50 tahun dahulu.

 

Hindun mahu menggali kubur Aminah dan menghasut beberapa orang untuk mengiayakan kemahuannya itu. Tetapi para pembesar Quraish menolak permintaannya, oleh kerana itu mereka pada masa itu tidak akan menggali kuburan.

 

Nabi kita, Nabi Muhammad (saw) mengetuai orang Islam manakala Abu Sufyan mengetuai tentera para penyembah berhala.

 

Nabi Muhammad (saw) mengarahkan 50 orang pemanah agar bertahan di atas bukit al-Ainain bagi melindungi pasukan belakang tentera Muslim. Baginda (saw) mengarahkan agar tidak meninggalkan tempatnya walauapa pun terjadi.

 

Para tentera kufar mula menyerang umat Islam. Uthman bin Abi-Talha, pemegang panji perang mendahului dihadapan.

 

Hindun dan beberapa orang perempuan disekelilingnya sedang rancak memalu gendang perang bagi menaikkan semangat pejuang mereka.

 

Sambil itu, mereka menyanyi-nyanyi beberapa rangkap bait-bait puisi ini (terjemahannya sahaja):

 

Kami, anak-anak perempuan Tariq, berjalan di atas bantal-bantal,

Bagai berjalan di atas pasir halus yang bercahaya,

Haruman semerbak disemburkan,

Dengan kalungan mutiara dileher kami,

Jika kamu melihat, kami akan membuatkan kamu semua terleka,

Dan jika kamu cuba melarikan diri, kami akan memenjarakan kamu,

Dan pemenjaraan itu akan menjadi satu kesedihan,

 

Tiba-tiba dari kejauhan, satu pekikan semangat dari Hamzah telah mengemparkan mereka:

 

“Aku adalah anak kepada pemberi air minuman untuk para jemaah haji”.

 

Peperangan bermula.

 

Hamzah menyerang pemegang panji tentera kufar. Beliau memukulnya dan memenggal tanggan yang memegang panjinya itu, jadi terjatuhlah panji itu ke tanah. Kemudian, adiknya menyambut panji tersebut.

 

Serangan demi serangan dilakukan oleh pejuang Islam dalam menjatuhkan panji perang pasukan kufar. Seorang demi seorang pemegang panji pasukan kufar gugur.

 

Apabila panji perang mereka jatuh ke bumi, para pejuang kufar menjadi pudar semangat juang mereka. Jadi mereka mula  melarikan diri dari medan peperangan itu, mereka takut jika nyawa mereka melayang di tangan para tentera Muslim. Patung-patung sembahan mereka yang dibawa sebagai azimat kejayaan mereka juga bertaburan jatuh dari unta-unta tunggangan mereka.

 

Para pejuang Islam mengejar pasukan kufar yang cuba lari dari medan perang itu. Begitu juga para pasukan pemanah. Mereka terlupa akan arahan yang telah diberikan oleh Rasulullah (saw) agar tidak tinggalkan kedudukan mereka sebagai lapisan pertahanan. Mereka meninggalkan bukit al-Ainain untuk mengutip harta-harta yang terjatuh dan ditinggalkan oleh pasukan kufar. Disebabkan itu, pasukan pejuang Muslim kembali terdedah kepada serangan dari pasukan kufar.

 

Khalid bin al-Walid, salah seorang pejuang penyembah berhala, telah melihat kedudukan yang rapuh itu, sambil mengambil kesempatan itu untuk melancarkan serangan kilat. Serangan yang tidak disangka-sanka itu membuatkan pasukan Muslim menjadi huru-hara.

 

Dalam pada itu jugalah, Wahshi, seorang hamba yang telah diupah oleh Hindun, mengambil peluang keemasan itu untuk melaksanakan tugas yang diberikan. Dengan berbekalkan lembing panjangnya itu, dia mencari-cari Hamzah disebalik kekalutan tentera Muslim yang diserang.

 

Dia tidak memikirkan apa-apa, selain mahu membunuh Hamzah.

 

Di dalam pertarungan sengit itu, Wahshi berselindung dibalik sebuah batu yang besar sambil menumpukan perhatiannya kepada Hamzah.

 

Tatkala Hamzah sedang tumpu kepada serangan-serangan ke atas pasukan kufar, ketika itulah Wahshi melemparkan lembingnya kepada pakcik Rasulullah (saw) itu. Lembing itu tepat mengenai perut Hamzah.

 

Dalam keadaan yang kalut itu, Hamzah masih cuba untuk menyerang kembali Wahshi. Tetapi keadaannya yang parah telah menyebabkan beliau rebah ke bumi dan menemui ajalnya. Beliau syahid di medan peperangan Uhud itu.

 

Melihat keadaan itu, Wahshi menjadi puas dan terus berlari pergi mencari Hindun. Dia ingin segera memberitahu kepada Hindun tentang hasil perbuatannya.

 

Hindun amat gembira apabila mengetahuinya. Ketika itu juga Hindun mengambik emasnya dan memberikan kepada Wahshi lalu berkata:

 

“Aku akan berikan kamu lagi 10 dinar selepas kita sampai ke Mekah!”

 

Lalu Hindun segera pergi kepada jasad Hamzah di tengah-tengah medan peperangan itu. Dia telah memotong telinga dan hidung pakcik Rasulullah (saw) untuk dijadikan kalungan lehernya. Tidak cukup dengan itu, Hindun mengelurkan pisau belatinya lalu membelah perut al-Syahid Hamzah dan mengeluarkan hatinya dan memamah-mamahnya bagaikan seekor anjing memakan daging yang mentah.

 

Kemudian itu, datanglah Abu Sufian dan melemparkan lembingnya ke jasad al-Syahid Hamzah (ra). Mereka suami isteri berasa amat puas kerana dapat menuntut bela ke atas kematian ahli keluarga mereka pada peperangan Badar yang lalu.

 

 

 
Kisah 9 : Hamzah bin Abd Mutalib

Ketua para syuhada


Para pejuang penyembah berhala menghentikan serangan dan pulang ke Mekah. Mereka berasa gembira.

 

Kemudian itu Rasulullah (saw) dan para sahabatnya turun dari bukit bagi mengebumikan semua para syuhada.

 

Baginda (saw) berasa amat sedih dan bertanyakan para sahabatnya tentang kedudukan jenazah pakciknya, Hamzah (ra).

 

Lalu al-Harith berkata:

 

“Aku tahu di mana kedudukannya”.

 

Lalu Baginda (saw) meminta Harith menunjukkannya.

 

Harith keluar mencarikan kedudukan janazah Hamzah. Selang beberapa ketika, beliau menjumpanya. Harith tidak sanggup menatap keadaan jenazah yang begitu teruk sekali. Beliau tidak sanggup untuk memberitahu Rasulullah (saw) tentang apa yang telah dilihatnya.

 

Rasulullah (saw) menjadi gusar kerana menunggu lama berita dari Harith, lalu mengarahkan Imam Ali (as) bagi mencari jasad Hamzah. Imam Ali (as) telah menjumpainya. Beliau (as) juga tidak sanggup memberitahu Rasulullah (saw) dengan apa yang telah beliau (as) lihat kerana beliau (as) tidak mahu Rasulullah (saw) berasa amat sedih.

 

Oleh kerana itu, Rasulullah (saw) telah keluar mencarinya sendiri. Akhirnya Baginda (saw) menjumpainya. Baginda (saw) melihat sendiri keadaan jasad pakciknya yang sungguh menyayatkan hati.

 

Kesedihan Rasulullah (saw) tidak dapat ditampung lagi, Baginda (saw) menangis apabila melihat jasad pakciknya yang begitu teruk diperlakukan.

 

Serigala juga tidak akan memperlakukan sepertimana Hindun dan Abu Sufyan lakukan ke atas jasad yang tidak bernyawa itu.

 

Kemarahan Rasulullah (saw) tidak dapat dibendung, lalu Baginda (saw) berkata:

 

“Wahai pakcikku, semoga Allah (swt) merahmatimu. Kamu telah melakukan banyak perkara yang mulia dan menjaga dengan kemas tali persaudaraan dengan saudaramu”.

 

“Jika selepas ini Allah (swt) menganugerahkan aku kejayaan. Aku akan mendera 70 orang Quraish”.

 

Semua umat Islam yang ada di situ telah bersumpah akan melakukan apa yang diperkatakan oleh Rasulullah (saw). Kerana itu, Jibrail (as) turun ke dunia dan membacakan ayat ini:

 

“… dan jika

And if you take your turn, then retaliate with the like of that which you were afflicted; but if you are patient it will certainly be best for those who are patient.

Kerana itu Rasulullah (saw) yang maksum, yang dipelihara oleh Allah (swt) dari melakukan kemaksiatan, telah memaafkan perbuatan mereka itu. Baginda (saw) menerima arahan Allah (swt) agar mangambil jalan kesabaran. Dan mengarahkan umat Islam dari melakukan penderaan seperti sumpahan yang mereka telah mereka lakukan.

Setelah itu, Rasulullah (saw) mengambil kainnya bagi menutup jasad pakciknya. Lalu Baginda (saw) berkata:

“Wahai pakcikku, engakau adalah singa utusan-Nya, pelaku kebaikkan, pemecah segala ketakutan, petahanan Nabi Allah, dan penyelamatnya”

Setelah itu, Safiyah, adik Hamzah dan juga makcik kepada Rasulullah (saw) bersama Fatimah az-Zahra telah datang untuk memastikan Rasulullah (saw) selamat dari serangan kilat itu.

Lalu Imam Ali (as) telah menghalanginya dan berkata kepadanya:

“Wahai makcikku, pergilah pulang”.

Beliau (as) tidak mahu makciknya melihat keadaan abang kesayangnya. Tetapi beliau berkeras dan berkata:

“Aku tidak akan kembali, sehingga aku melihat sendiri Rasulullah”.

Dalam kejauhan itu, Rasulullah (saw) melihatnya. Lalu Baginda (saw) mengarahkan anak makciknya itu, al-Zubair agar tidak melihat jenazah abangnya itu.

Dan dengan segera al-Zubair menyambut kedatangan ibunya dan berkata:

“Wahai ibuku, marilah kita pulang”

 

Sekali lagi ibunya berkata:

“Selagi aku tidak melihat Rasulullah”

Apabila Safiyah melihat keadaan Rasulullah (saw) dan memastikan sendiri keadaan baginda (saw) selamat barulah hatinya tenteram. Kemudian itu beliau bertanyakan tentang Hamzah, abangnya:

“Di mana abangku?”

Rasulullah (saw) hanya mendiamkan dirinya. Dengan itu, Safiyah tahu bahawa abang kesayangnya itu telah syahid. Beliau dan Fatimah az-Zahra tidak dapat menampung kesedihan, dan menangisi pemergian abang dan pakcik kesayangan mereka itu.

Rasulullah (saw) telah menenteramkan mereka:

“Janganlah kamu bersedih, kerana tadi Jibril (as) telah memberitahuku bahawa Hamzah telah dianugerahkan sebagai Singa Allah dan Singa Nabi Allah di dalam syurga!”

“Bukit Uhud inilah menjadi saksi akan keberanian Hamzah, dia adalah ketua bagi para Syuhada dan ketakutan kepada para penyembah berhala”.

 Selawat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s