Malik al-Ashtar

Kisah 1 : Malik al-Ashtar

Al-Rabathah


Al-Rabathah merupakan sebuah gurun di antara Mekah dan Madinah. Ianya merupakan sebuah kawasan yang tandus. Tiada kehidupan di situ. Tetapi pada tahun ke-30 hijrah, ianya berubah, terdapat sebuah khemah didirikan oleh sebuah keluarga di situ. Di dalam khemah tersebut tinggallah sepasang suami isteri yang sudah lanjut usia bersama seorang anak perempuan.

Mengapa lelaki tua itu tinggal di kawasan yang tandus di tengah-tengah padang pasir itu?

Lelaki tua itu menderita sakit. Isterinya sentiasa menangisi kerana penderitaan yang menimpa. Lalu lelaki tua itu berkata kepadanya:

“Mengapa engkau menangis?”.

Perempuan tua itu membalas dengan sayu:

“Bagaimana aku tidak menangis, engkau akan mati di gurun ini?”.

Lelaki tua itu membalas:

“Aku teringatkan satu hari, semua sahabatku dan aku duduk disamping Rasulullah (saw). Lalu Baginda (saw) berkata kepada kami:

‘Salah seorang dari kamu akan mati di sebuah gurun. Dan ada sekumpulan akan hadir di hari pengkebumiannya’. Semua sahabatku telah meninggal dunia di rumah mereka, dan tidak ada sesipapun yang mengingati hadis ini kecuali aku. Janganlah kamu risau, seseorang akan datang ke sini untuk membantumu”.

Lalu perempuan tua itu pula berkata:

“Masa mengerjakan Haji telah pun berlalu. Tidak akan ada seorang pun akan melintasi gurun ini”.

Lelaki tua itu pun cuba menenangkan isterinya:

“Aku yakin dengan kata-kata Rasulullah (saw). Pergilah naik ke bukit dan lihatlah diperjalanan, akan ada sekumpulan pedagang yang akan lalu ke sini”.

Perempuan tua itu taat pada perintah suaminya, dia mendaki bukit itu dengan penuh kepayahan sambil meninjau-ninjau.

Setelah lama masa berlalu, dari kejauhan, wanita tua itu tadi ternampak sebuah kumpulan berjalan ke arahnya.

Wanita tua itu melambai-lambai menggunakan sehelai kain. Anggota kumpulan itu berasa hairan dan mereka bercakap sesama sendiri: bagaimana seorang wanita tua boleh berada di tengah gurun itu?

Mereka menghampiri dan bertanyakan keadaan perempuan tua itu. Lalu perempuan tua itu berkata:

“Suamiku sedang diambang kematiannya. Dan tidak ada seorang yang dapat membantunya!”.

“Siapakah suamimu, wahai makcik?”.

Sambil teresak-esak kesedihan, wanita tua itu menjawab:

“Abu Dhar, dia adalah salah seorang sahabat Rasulullah (saw)”.

Ketua rombongan itu menjadi sungguh terkejut. Lalu berkata:

“Abu Dhar! Sahabat Rasulullah! Mari lekas, kita bertemunya!”.

Rombongan tersebut bergegas ke khemah. Apabila mereka masuk ke dalam khemah itu, mereka ternampak Abu Dhar sedang tidur dikatilnya. Dengan lembut mereka berkata:

“Assalamualaik, wahai sahabat Rasulullah!”.

“Wa Alaikum Salam, siapa kamu?”, suara Abu Dhar lemah.

Seorang dari mereka berkata:

“Saya, Malik bin al-Haarth al-Ashtar. Dan beberapa orang lelaki bersama saya yang datang dari Iraq. Kami menghala ke Madinah untuk bertemu Khalifah bagi mengadu kesengsaraan yang kami tanggung”.

Abu Dhar berkata:

“Wahai saudaraku, bergembiralah! Bahawa Rasulullah pernah memberitahuku bahawa aku akan mati di sebuah gurun dan terdapat sekumpulan yang beriman akan hadir membantu pada hari kematianku”.

Malik dan sahabat-sahabatnya amat gembira mendengar tentang perkhabaran dari Rasulullah (saw) itu. Mereka duduk di dalam khemah Abu Dhar. Malik berasa amat simpati bila mendengar Abu Dhar akan penindasan yang dilakukan oleh bani Ummayah ke atas sahabat besar Rasulullah (saw) itu.

Al-Asthar

Malik bin al-Haarth al-Nakhay berasal dari puak asal Yaman. Beliau memeluk Islam di zaman Rasulullah (saw) masih hidup. Beliau masih setia kepada Islam.

Beliau mengambil bahagian dan berjihad di dalam peperangan Yarmook. Beliau memiliki keberanian dalam menangkis serangan dari puak Rom yang menyerang umat Islam. Disebabkan peperangan itu kelopak matanya terkoyak akibat terkena pedang, kerana itu beliau dikenali sebagai al-Ashtar (yang terpotong).

Pada tahun ke-30 hijrah, umat Islam di Kufah dan di beberapa kota yang lain bangkit marah dan menentang penindasan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Sebagai contoh, al-Walid bin Akabah, adik tiri Khalifah Uthman, pemerintah Kufah, yang mempunyai akhlak yang bertentangan dengan akhlak Islam – sering meminum arak yang diharamkan dan menghabiskan masa dengan berhibur.

Satu hari, al-Walid masuk ke dalam masjid dalam keadaan mabuk. Dia masuk ke masjid untuk sembahyang Subuh, tetapi dia melakukan solatnya dengan 4 rakaat. Lalu beliau berpaling ke jemaah-jemaah lain lalu tersenyum sinis dan berkata:

“Perlukah aku tambahkan lagi rakaat solat ini?”.

Orang ramai berasa tidak senang dengan perbuatannya. Mereka mencemuhnya di pasar-pasar, di rumah-rumah dan masjid-masjid.

Orang ramai tertanya-tanya sesama sendiri:

“Mengapakah Khalifah tidak terjumpa seorang pemerintah yang baik bagi mengantikan siburuk ini?”.

Al-Walid meminum arak secara terbuka. Dia melanggar ajaran-ajaran agama dan hak-hak orang Islam.

Jadi, orang ramai memikirkan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini. Akhirnya, mereka membuat keputusan untuk mendapatkan nasihat dari seorang sahabat Rasulullah (saw). Mereka berkeputusan berjumpa Malik al-Ashtar.

Setelah mendengar rintihan dan aduan orang ramai berkenaan al-Walid, Malik al-Ashtar berkata:

“Pertamanya kita perlu menasihatinya. Kemudian kita akan memberitahu kepada Khalifah berkenaan perbuatan buruknya!”.

Malik dan beberapa sahabatnya pergi bertemu al-Walid. Semasa mereka masuk ke dalam istananya, mereka mendapatinya sedang meminum arak. Mereka menasihatinya agar berkelakuan baik. Tetapi mereka telah dimarahi dan dihalau dari istananya.

Mereka tidak dapat berbuat apa lagi kepada al-Walid. Mereka berkeputusan untuk pergi ke Madinah al-Munawarah bagi bertemu Khalifah bagi mengadu akan permasalahan ini.

Sebuah deligasi bertemu Khalifah dan menceritakan segalanya. Tetapi perkara itu tidak diambil kisah oleh Khalifah Uthman. Malahan mereka itu telah dimarahi dan dihalau. Khalifah tidak mahu menerima aduan mereka itu. Para deligasi berasa kecewa.

Mereka terfikir untuk bertemu dengan Imam Ali bin Abu Talib (as), sepupu Rasulullah (saw), kerana beliau (as) sahajalah harapan terakhir bagi menyelesaikan keadaan ini.

Kisah 2 : Malik al-Ashtar

Pasukan Deligasi


Suasana dunia Islam menjadi gawat, semua penduduk di kota-kota Islam mencemuh perbuatan pemerintah yang sangat buruk.

Para sahabat menuju ke rumah Imam Ali (as). Mereka mengadukan perbuatan-perbuatan buruk dan gejala penyelewengan amanah dan rasuah yang berlaku.

Imam Ali (as) berasa sungguh sedih mendengar perkembangan ini. Jadi, Beliau (as) pergi ke istana Khalifah. Beliau (as) bertemu Uthman lalu menasihatinya:

“Wahai Uthman, umat Islam mengadukan perlakuan buruk para pemerintah lantikan kamu kepadaku. Dan kamu amat mengetahui akan kata-kata Rasulullah (saw) kepada kita:

‘…di hari pembalasan, pemerentah yang tidak adil akan ke neraka. Tiada seorang pun akan membantunya dan membelanya. Selepas itu, Allah (swt) akan mencampakkannya ke dalam neraka. Dia akan mengelilingi neraka itu sehingga dia masuk ke sebuah tempat yang paling panas, dan tetap di situ…’.

Khalifah Uthman berfikir sejenak. Beliau menundukkan kepalanya sebagai tanda penyesalan. Beliau mengakui kesilapannya. Beliau berjanji akan memohon keampunan kepada Allah. Beliau bertaubat, dan mahu memohon ampun kepada seluruh umat Islam.

Imam Ali (as) keluar bertemu umat Islam dan memberitahukan akan penyesalan Khalifah dan keterlanjurannya. Mereka gembira akan perkembangan itu.

Tetapi pemerintah Madinah, Marwan, tidak menyenangi tindak-tanduk Khalifah itu, lalu dia berkata kepadanya:

“Janganlah engkau tunduk kepada mereka, perkara ini akan memalukan engkau sampai bila-bila. Tidak akan ada seorang pun akan berani mengatakan apa-apa perkataan buruk ke atas kekhalifahanmu”.

Khalifah termakan kata-kata Marwan, dari itu bermulalah episod pemungkiran janji dari Khalifah.

Kisah 3 : Malik al-Ashtar

Kebangkitan

____________________________________________________________________________________________

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Umat Islam terus ditindas, kerana tidak ada arahan dari Khalifah agar pemerintah-pemerintah kota lantikannya agar berubah mengikut syariat Islam atau menggantikan mereka. Umat Islam bertambah marah.

Khalifah Uthman telah melanggar janjinya. Dalam pada itu juga, beliau menggunakan undang-undang negara dalam menentang orang ramai. Mu’awiyah, pemerintah Syam, telah menasihati Khalifah Uthman agar mengenakan hukuman buang daerah ke atas sebahagian para sahabat Rasulullah (saw).

Khalifah telah membuang Abu Dhar ke gurun al-Rabathah sehingga beliau meninggal di situ. Beliau juga memukul, sahabat rapat Rasulullah (saw), Ammar bin Yasir, anak kepada 2 orang syahid di dalam dunia Islam.

Khalifah juga menyebat sahabat Rasulullah (saw), Abudullah bin Masoud. Seluruh umat Islam tidak menyukai perbuatan Khalifah Uthman dan polisi-polisi pemerintahannya. Kemarahan mereka sudah tidak dapat dibendung lagi.

Para sahabat Rasulullah (saw) yang berada di Madinah telah menghantar surat ke semua kota umat Islam. Suratnya berbunyi begini:

Wahai Muslimin, datanglah kepada kami. Dan selamatkanlah kekhalifahan ini. Kitab Allah telah diubah. Dan semua hadis dan sunnah Rasulullah (saw) telah diubah. Jadi, maralah kamu semua kepada kami jika kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

Ramai umat Islam dari segala pelusuk jazirah Arab, bergerak menuju ke Madinah al-Munawarah. Malik al-Asthar, sahabat Rasulullah (saw) diangkat menjadi wakil kepada pergerakkan itu. Beliau mengadakan perbincangan dengan Khalifah Uthman bagi membentuk kembali semula negara dan memperbaiki kebajikan kepada semua orang Muslim.

Pergerakkan itu memohon agar Khalifah meninggalkan jabatan kekhalifahan itu. Tetapi Khalifah Uthman membantahnya.

Begitu juga Imam Ali (as). Beliau (as) cuba mencari jalan terbaik dalam menangani perkara gawat ini. Tetapi usahanya menemui kegagalan. Kerana terdapat konspirasi terancang dari pihak pemerintah-pemerintah lantikan Khalifah Uthman. Mereka mengunakan kewangan tanpa batasan untuk menguatkan kedudukan mereka dan mendapat sokongan padu daripada kumpulan yahudi dan nasrani yang kaya.

Di tambah juga dengan kedegilan Khalifah Uthman untuk tidak tunduk dengan desakkan umat Islam agar meletak jawatan kerana tidak menegakkan keadilan sebagaimana keadilan yang diajarkan oleh Rasulullah (saw). Umat Islam rindukan pemerintahan Rasulullah (saw).

Umat Islam yang mahukan perubahan telah mengepung istana Khalifah. Kemarahan mereka tidak dapat dibendung lagi. Suasana menjadi tidak terkawal lagi.

Mereka mula memanjat tembok istana. Mereka memecah masuk ke dalam bilik Khalifah lalu membunuhnya. Pada ketika itu, pasukan yang dipanggil oleh Khalifah seperti pasukan Ma’wiyah dari Syam untuk mempertahankannya telah memberhentikan pasukannya di luar kota Madinah. Manakala Marwan dan pengikutnya telah lari meninggalkan Khalifah keseorangan dalam berhadapan kemarahan umat Islam.

Dalam kegawatan yang berlaku, Talhah dan Zubair yang bercita-cita untuk memegang tampuk jabatan kekhalifahan, juga membantu pergerakkan kebangkitan itu. Tetapi orang Islam berpendapat hanya seorang sahaja yang layak memegang jawatan itu. Orang yang dimaksudkan mereka adalah Imam Ali (as).

Suasana umat Islam yang menjadi kecoh. Mereka beramai-ramai menuju ke rumah Imam Ali (as). Mereka beramai-ramai memintanya menerima jawatan Khalifah. Tetapi Imam menolaknya. Baginya terlalu ramai yang bercita-cita untuk menjawat jabatan itu. Dan disebabkan itu nanti umat Islam akan berpecah. Baginya biarlah beliau (as) beralah, asalkan umat Islam tetap bersatu. Kerana pada waktu itu jemaah yang berkepentingan dunia lebih ramai dari jemaah yang mengikuti sunnah Rasulullah (saw).

Malik al-Ashtar dan beberapa sahabat Rasulullah (saw) yang lain tetap berkeras ke atasnya untuk beliau (as) menjadi Khalifah. Lalu Malik menyampaikan pidatonya:

“Wahai semua, ketahuilah bahawa dialah sebenarnya pemangku ketua umat Islam selepas ketiadaan Nabi. Dia telah mempelajari ke semua ilmu Rasulullah (saw). Al-Quran telah menyebutkan tentang keimanannya. Rasulullah (saw) telah memberitahu kepada kami bahawa dia akan memasuki taman al-Ridhwan. Peribadinya yang sempurna. Umat Islam yang lepas dan sekarang ini memang menyenanginya dan mengakui akan ketinggian ilmunya”.

Maka, Malik al-Asthar merupakan orang yang pertama mengangkat dan memberi baiat kepada Imam Ali bin Abu Talib (as) sebagai Khalifah. Setelah itu semua orang Islam yang berkumpul itu, mengikuti jejaknya dalam memberi sumpah taat setia (baiat) kepada Imam Ali (as).

Semasa Imam Ali (as) menjadi Khalifah, perubahan telah bermula. Beliau (as) memecat ke semua pemerintah yang zalim, dan mengantikannya dengan orang yang baik dan adil.

Kisah 4 : Malik al-Ashtar

Peperangan Unta/Jamal


Ada yang mahu menjadi Khalifah. Talhah dan Zubair adalah diantaranya. Tetapi umat Islam yang lain secara beramai-ramai melantik Imam Ali (as). Lalu mereka pergi ke Mekah dan menyarankan kepada Ummul Mukminin Ai’syah, anak kepada Khalifah pertama – Abu Bakar, agar memberontak, alasannya untuk menuntut bela kematian Uthman.

Marwan mengambil kesempatan di dalam situasi ini. Dia merompak duit perbendaharaan Islam bagi membentuk sebuah pasukan tenteranya yang besar. Dia mengumumkan bahawa dia juga akan menuntut bela ke atas pembunuhan Uthman, saudaranya. Mereka bergabung.

Sebenarnya gabungan mereka hanya untuk menekan pemerintahan baru yang dilantik, melalui kekecohan itu maka usaha pemerintah baru akan menemukan kegagalan.

Pasukan tentera itu bergerak ke Basrah, selatan Iraq. Di sana mereka mencabut janggut pemerintah baru, ini merupakan tindakan orang Arab bagi menghina sesorang, dan menghalaunya. Mereka memecah masuk Perbendaharaan Awam dan merompak harta orang awam di dalamnya.

Amirulmukminin Ali (as) menghadapi pemberontakkan para pemerintah kota yang hebat. Mereka tidak menyenangi perlantikannya. Beliau (as) pergi ke Basrah bagi menjemput masyarakat Islam di sana agar bersatu menentang pemberontakkan itu.

Sementara itu juga, pemerintah Kufah, Abu Musa al-Ashary, tidak mengalakkan orang ramai pergi menentang puak pemberontak. Malahan mengarahkan mereka agar menentang perlantikan Imam Ali (as) sebagai Amirulmukminin yang baru.

Hari bersilih ganti.

Tetapi Imam Hasan (as) dan Ammar bin Yasir yang diutuskan Imam Ali (as) untuk mengajak umat Islam menyertai barisan Amirulmukminin Ali (as) masih tidak pulang. Oleh kerana itu beliau (as) menghantar Malik al-Ashtar ke Kufah bagi memanggil umat Islam menyokong pemerintahannya.

Malik al-Ashtar merupakan seorang yang berani dalam menentukan keputusan umat Islam. Beliau mengetahui penduduk Kufah selalu menyokong Imam (as). Dan mengetahui keadaan mereka yang dihalang oleh Abu Musa al-Ashary, pemerintah Kufah yang dilantik oleh Khalifah yang lalu.

Sesampainya Malik al-Ashtar di Kufah, beliau mula memanggil orang ramai turut serta bersamanya. Akhirnya beliau berjaya mengumpulkan ramai pengikutnya untuk menyerang istana pemerintah dan menyingkirkan pengawal-pengawal Abu Musa.

Pada waktu itu Abu Musa al-Ashari berada di masjid mengajak orang ramai agar duduk berdiam diri di rumah dan tidak mematuhi kepada arahan Amirulmukminin Ali (as).

Pengawalnya datang ke masjid dan mengkhabarkan kepadanya bahawa Malik al-Ashtar telah menawan istananya.

Abu Musa akur dan memohon kepada Malik al-Ashtar agar memberikannya beberapa hari untuk keluar dari bumi Kufah. Dan Malik menerimanya. Setelah itu, Malik al-Ashtar menuju ke Masjid dan menjelaskan kembali keadaan yang berlaku dan menggalakkan orang ramai memberikan sokongan kepada pemerintah baru Imam Ali (as). Setelah mengetahui hal yang sebenarnya, maka mereka beramai-ramai memberi taat setia kepada Khalifah yang baru.

Dengan itu Malik al-Ashtar dapat membina sebuah pasukan tentera yang besar. Pasukan itu memiliki lebih dari 18 ribu pejuang.

Imam Hasan bin Ali (as) mengetuai 9 ribu pejuang. Tentera itu merentasi daratan dan sungai. Dengan tujuan yang satu untuk bergabung dengan tentera Imam Ali (as) di al-Dhiqaar sebuah tempat di bahagian selatan Iraq.

Imam Ali (as) dan pasukannya menuju ke arah Basrah, di sana Beliau (as) telah bertembung dengan pasukan lawannya tentera Ummul Mukminin Ai’syah binti Abu Bakar. Ketua-ketua para juritnya adalah seperti Talhah, Zubair dan Marwan bin al-Hakam.

Manakala di pasukan Khalifah (as), Malik al-Astar menerajui bahagian kanan. Ammar mengetuai barisan kiri. Imam Ali (as) mengetuai barisan tengah. Manakala Muhammad bin al-Hanafiyah, anak Imam Ali (as), dipertanggungjawab bagi memegang panji tenteranya.

Pasukan Ai’syah memulakan serangannya. Mereka menghujani tentera Imam dengan panahan anak panah. Dengan itu ada yang terbunuh dan ada yang tercedera.

Tentera Imam (as) mahu membalasnya semula. Tetapi Imam Ali (as) menahannya dan berkata:

“Siapakah yang mahu mengangkat al-Quran ini kepada mereka dan merayu kepada mereka agar berundur kepadanya (al-Quran)?, tetapi perkara ini akan membuatkannya terbunuh?”.

Seorang pemuda berkata:

“Wahai Amirulmukminin, biarlah aku mengambilnya”.

Lalu dia memacu kudanya ke pasukan tentera yang menungang unta sambil mengangkat al-Quran. Lalu Ai’syah menjerit:

“Panah lelaki itu!”.

Jadi, pasukan pemanah memanahinya. Pemuda itu rebah dan menjadi syahid.

Serentak pada itu, Imam Ali menadah tangan ke langit lalu berdoa kepada Allah (swt) agar dianugerahi kepadanya kemenangan. Di dalam doanya beliau (as) berkata:

“Ya Allah, ramai yang merenung kepada-Mu. Dan tangan ini menadah kepada-Mu. Wahai Tuhan kami, adililah kedua pasukan ini dengan seadilnya. Kerana Engkau adalah sebaik pengadil”.

Lalu Imam mengarahkan para pejuangnya untuk melancarkan serangan. Malik al-Ashtar diarahkan maju kehadapan. Beliau menyerang dengan dengan beraninya. Pertempuran itu berlangsung disekitar tentera berunta.

Imam (as) menyedari dengan membunuh unta-unta mereka akan menamatkan kedua-dua peperangan saudara itu.

Dengan itu, Malik bin al-Ashtar telah menyerang ke atas unta-unta mereka. Beliau berlawan dengan jujur. Beliau tidak membunuh yang tercedera. Dan tidak mengejar kepada sesiapa yang melarikan diri. Arahan Imam (as) itu disebarkan kepada seluruh tenteranya.

Malik al-Ashtar mengambil pengajaran itu dari Imam Ali (as). Itulah tatacara dalam peperangan saudara. Beliau amat menghormati dan mencintai Imam Ali (as) kerana beliau (as) merupakan penganti Rasulullah (saw). Begitu juga Imam mencintai Malik juga, kerana cintanya Malik kepada Allah (swt). Dan Allah (swt) mengasihi kepada mereka yang cinta kepada-Nya.

 Kisah 5 : Malik al-Ashtar

Kemenangan


Selepas pertempuran sengit, tentera Imam (as) telah membunuh unta-unta tentera Ai’syah. Disebabkan itu, semangat mereka menjadi lemah dan mula melarikan diri dari peperangan.

Imam (as) mengarahkan pihak lawan agar menghentikan serangan. Dan mengarahkan tenteranya melayani Ummul Mukminin Ai’syah dengan hormat dan membawanya semula ke Madinah.

Imam (as) turut juga memberi arahan agar melepaskan semua banduan perang dan mengarahkan tenteranya merawat sesiapa yang tercedera. Beliau (as) memaafi segala percubaan pemberontakkan ke atas perlantikannya sebagai Khalifah.

Malik al-Ashtar dan Ammar bin Yasir bertemu Ai’syah. Lalu Ai’syah berkata:

“Malik, kamu membunuh anak saudaraku!”.

Lalu Malik menjawab:

“Ya! Aku mahu negara Muhammad bebas darinya. Tetapi aku tidak membunuhnya lebih awal kerana aku berpuasa selama 3 hari. Dan aku seorang yang tua”.

Kisah 6 : Malik al-Ashtar

Di Kufah


Setelah beberapa hari berada di Basrah, Imam Ali (as) dan tenteranya beralih menuju ke Kufah.

Malik al-Ashtar bertarung dengan beraninya bagai seekor singa yang garang. Ramai musuh takut berhadapan dengannya.

Walaupun begitu, pada hari-hari biasa, beliau kelihatan seperti seorang lelaki tua yang miskin. Beliau mengenakan pakaian yang biasa dan berjalan dengan merendah diri. Oleh kerana itu ramai yang tidak mengenalinya.

Suatu hari, semasa Malik al-Ashtar sedang berjalan di sebatang jalan, seorang lelaki yang sedang memakan buah kurma. Dia sengaja membaling batu ke arahnya.

Malik al-Ashtar hanya berlalu pergi. Tetapi lelaki itu tetap membalingnya lagi dengan batu. Dan batu itu terkena di belakangnya. Dan lelaki itu tertawa kepadanya.

Lalu datang seorang lelaki lain menegurnya. Lelaki itu berkata kepadanya:

“Apa yang engkau lakukan? Apakah engkau kenal siapakah lelaki itu?”.

Lelaki itu menjawab:

“Tidak, siapakah dia?”.

“Dia adalah Malik al-Ashtar!”

Malik tetap meneruskan langkahnya. Beliau tidak mengambil kisah kepada lelaki itu. Beliau teringat bagaimana para penyembah berhala melayan nabi kita Nabi Muhammad (saw) semasa di Mekah. Mereka membaling tanah dan sampah kepadanya, tetapi Baginda (saw) tetap mendiamkan dirinya.

Malik al-Ashtar pergi ke masjid. Tujuannya adalah satu, beliau ingin berdoa kepada Allah (swt) agar mengampuni dosa lelaki itu.

Lelaki itu berlari-lari mencari Malik al-Ashtar untuk meminta maaf atas perbuatannya tadi. Puas dia mencari akhirnya dia bertemu Malik di masjid. Lelaki yang telah cuba memalukan Malik memohon kemaafan dan berkata:

“Saya ingin memohon maaf di atas berbuatan jahiliah ku tadi. Terimalah permintaanku ini!”.

Malik tersenyum dan berkata kepadanya:

“Wahai saudara, jangan bimbang. Demi Allah! Aku masuk ke masjid ini untuk berdoa kepada Allah agar mengampunimu”.

Kisah 7 – Malik al-Ashtar

Peperangan Siffin


Imam Ali (as) telah memilih seorang yang baik dalam memerintah sesebuah kota. Beliau (as) telah melantik Malik bin al-Ashtar sebagai pemerintah bagi Mousal, Sinjar, Nasibin, Hit dan Anat. Kawasan-kawasan ini merupakan kawasan sempadan Syam.

Mu’awiyah tidak memberikan taat setianya kepada Khalifah Ali (as). Dia telah menjadi serang diktator semasa menjadi pemerintah Syam.

Walaubagaimanapun Imam Ali (as) tetap memujuk Mu’awiyah agar mematuhinya. Beliau (as) tetap mengutuskan beberapa helai surat kepadanya, beliau (as) turut menghantar para diplomatnya agar memujuknya. Tetapi usaha Imam menemui kegagalan.

Oleh kerana itu, Imam (as) menubuhkan sebuah pasukan yang diketuai oleh Malik al-Asthar untuk menundukkan pasukan Mu’awiyah. Di dalam kerajaan Islam adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk tunduk di bawah pemerintah.Bukan melancarkan peperangan dan pergolakkan kepada Khalifah yang dilantik secara sebulat suara. Ini bertujuan agar umat Islam tetap bersatu. Melawannya adalah perkara maksiat dan berdosa.

Pasukan tentera Imam (as) mara ke negeri Syam. Mereka tiba di Kirkisya, di sana mereka bertembung dengan pasukan tentera Syamain yang diterajui oleh Abi al-Awar al-Salmy.

Malik bin al-Ashtar cuba sedaya upayanya bagi memujuk tentera Islam itu memberikan baiat kepada Amirulmukminin Ali (as), tetapi mereka menolaknya.

Tetapi lebih memalangkan lagi, apabila tentera Syamain itu mengambil kesempatan dengan membuat serangan mengejut ke atas tentera-tentera Amirulmukmin (as). Serangan itu adalah bertentangan dengan akhlak ketenteraan agama Islam dan tidak berperikemanusiaan kerana kedua belah pihak masih dalam perundingan.

Ramai parajurit Khalifah (as) terkedu dan terkejut akan serangan itu. Ramai yang terkejut dan tercedera dari serangan itu dan memaksa mereka berundur dari kawasan itu. Serangan ini merupakan serangan yang bacul dan dibuat dari seorang yang penakut.

Malik al-Ashtar tidak mahu mengalah dalam serangan hendap itu. Beliau bertindak berani dengan menghantar utusannya ke Abi al-Awar bagi menjemputnya beradu dengan mengunakan pedang bersamanya.

Utusan itu bertemu Abi al-Awar, lalu berkata:

“Abi al-Awar, Malik al-Ashtar mencabarmu untuk beradu dengannya!”.

Ketua pasukan Mu’awiyah itu menjadi takut dan gerunnya dia berkata:

“Aku tidak akan bersemuka dengannya!”.

Selepas itu Mu’awiyah telah mengetuai sebuah pasukan yang besar untuk bergabung dengan tentera Syamain.

Kedua-dua pasukan itu bertemu di dataran Siffin di lembah sungai Euphrat.

Pasukan mereka dipecahkan kepada beberapa pasukan. Mereka memenuhi tebing sungai dan menyekat aliran sungai itu.

Tindakkan ini juga merupakan tindakkan yang bertentangan dengan akhlah ketenteraan Islam dan undang-undang ketenteraan yang lain.

Imam Ali (as) menghantar Sasaah bin Suhan, salah seorang sahabat Rasulullah (saw) agar Mu’awiyah dapat berinteraksi dengannya.

Sasaah datang dan memasuki khemah Mu’awiyah dan menyampaikan perutusan Imam Ali (as):

“Wahai Mu’awiyah, Ali berkata:

‘Benarkan kami untuk mengambil sedik air. Kemudian kita putuskan antara engkau dan aku (menjadi khalifah), jika tidak kita akan bertarung sesama sendiri sehingga pemenangnya dapat meminum airnya!”.

Mu’awiyah membisu sejenak lalu berkata:

“Aku akan memberi kata putusku nanti”.

Utusan Imam (as) keluar sebentar dari khemah itu. Mu’awiyah bermesyaurat dengan beberapa orang kanannya. Lalu al-Walid bin Akabah berkata:

“Halangi mereka mereka dari mendapatkan air itu untuk kita memaksa mereka menyerah kalah!”.

Mereka bersetuju dengan cadangan itu.

Mu’awiyah mengumpulkan semua pengikut dari kalangan pemerintah zalim duduk disekelilingnya. Mereka yang mencabul undang-undang Islam, undang-undang ketenteraan Islam dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Malik al-Ashtar hanya memerhatikan pergerakkan tentera Mu’awiyah di tebing sungai. Beliau juga melihat senjata-senjata yang dibawa mereka. Jadi, beliau menjangkakan Mu’awiyah akan memperketatkan lagi sekatan bekalan air.

Tentera-tentera Imam (as) berasa sangat haus. Begitu juga Malik. Lalu seorang tentera berkata kepadanya:

“Aku memiliki sedikit air, silakan meminumnya”.

Malik menolak dan berkata:

“Aku tidak akan meminumnya sehingga tentera-tenteraku meminumnya”.

Malik pergi bertemu Imam Ali lalu berkata:

“Wahai Amirulmukminin, tentera-tentera kita mengalami kehausan. Kita tidak memiliki apa-apa kecuali bertarung dengan mereka!”.

Lalu Imam (as) berkata: “Baiklah”.

Kemudia Imam Ali (as) naik memberikan ucapannya dan menyarankan mereka bertarung dengan bersungguh-sungguh.

Beliau (as) berkata:

“Kematian kepada seorang itu adalah dengan tunduk kepada kelemahannya. Dan kehidupan kepada seseorang itu adalah mati dijalan syahid”.

Malik al-Ashtar mengetuai serangan di dalam Peperangan Siffin. Beliau memulakan serangan dengan beraninya. Oleh kerana itu, beliau mara ke tebing sungai Euphrat.

Selepas petempuran berlaku, akhirnya Malik dapat mengambil semula tebing sungai itu dan memaksa tentera Mu’awiyah berundur.

Ini telah menjadikan tentera Mu’awiyah jauh dari sumber air. Jadi mereka kembali berikhtiar untuk menawan semula sungai Euphrat.

Pada keesokkan hari, sebatang anak panah terjatuh di tengah-tengah tentera Imam (as). Terdapat sekeping surat terikat padanya. Tentera-tentera itu membacanya dengan teliti. Mereka menyebarkan berita itu dikalangan mereka dengan segera. Berita itu adalah:

“Dari saudaramu yang taat berada di dalam pasukan Syamain, Mu’awiyah akan membuka sungai bagi menengelamimu. Maka, berhati-hatilah”.

Tentera-tentera Shamain mempercayai berita itu dan bersurai. Mereka cuba mengambil kesempatan itu untuk merampas kembali tebing sungai itu.

Tetapi tentera-tentera Imam melancarkan serangan biasa bagi menghalau tentera Syamain dari kawasan itu.

Mu’awiyah berasa sungguh tertekan, dia bertanya kepada Amru bin al-Ass:

“Adakah Ali akan menghalang kita dari meminum air itu”.

Lalu Amru bin al-Ass menjawab:

“Ali tidak akan berbuat seperti engkau!”.

Tentera-tentera Syamian juga berasa risau dengan perkembangan itu. Tetapi, kerisauan itu terpadam, apabila mereka terdengar bahawa Imam Ali (as) membenarkan mereka datang untuk mengambil air.

Sebahagian dari mereka yang datang dari Syam. Mereka pada asalnya tidak mengenali keperibadian Imam Ali (as) yang selama ini hanya mendiamkan diri. Mereka berasa terkejut dan tersedar perbezaan yang ditunjukkan amat ketara antara Imam Ali (as) dan Mu’awiyah. Mu’awiyah melakukan banyak perkara kejahatan bagi memenangi peperangan ini. Tetapi bebeza dengan Imam (as). Malahan beliau (as) telah melupakannya hanya dalam beberapa ketika. Beliau (as) memperakui hak sesama manusia, baik, dan mempunyai akhlak yang ideal.

Oleh kerana itu, beberapa tentera Shamain yang ramai jumlahnya telah berpaling dari bariasan Mu’awiyah dan meninggalnya pada waktu malam. Mereka menyertainya kerana Imam Ali (as) sentiasa menunjukkan kebenaran dan keperimanusiaan.

Kisah 8 – Malik al-Ashtar

Mu’awiyah


Kemarahan Mu’awiyah membuak-buak ke atas Malik al-Ashtar. Semuanya kerana keberaniannya yang membuatkan tentera-tentera Amirulmukminin Ali (as) berjuang dengan penuh bersemangat. Pada masa yang sama juga, tentera-tentera Syamain juga mengalami kekecewaan akibat serangan yang dihadapi oleh mereka.

Oleh kerana itu, Mu’awiyah bertekad untuk membunuh Malik dengan mencabarnya bertarung satu lawan satu, tetapi Marwan tidak menyetujuinya, lalu dia mencadangkan:

“Biarlah bin al-Aas yang bertarung dengannya kerana dia adalah orang kanan kamu”.

Lalu Mu’awiyah mengarahkan Amru bin al-Aas bertarung dengan Malik al-Ashtar. Dan Amru berasa berat hati untuk menyetujui rancangan Mu’awiyah itu.

Dengan perasaan yang berat Ibn al-Aas memanggil Malik untuk bertarung dengannya. Lalu Malik terus mara ke hadapan sambil menghunus pedangnya. Pertarungan bermula, Malik memukul-mukul muka Amru dengan pedangnya, tetapi tindakkan Malik itu tidaklah menyebabkan Amru menemui ajalnya. Kerana tidak tahan dengan pukulan pedang yang bertalu-talu ke mukanya, lalu Amru lari menyelamatkan dirinya.

Kisah 9 – Malik al-Ashtar

Kesyahidan Ammar


Pertempuran menjadi semakin sengit. Ammar bin Yasir mengetuai sayap kiri pasukan tentera Imam (as). Walaupun beliau sudah lanjut usianya tetapi beliau tetap berjuang dengan gagahnya.

Matahari sudah terbenam di arah barat, Ammar, semoga Allah merahmatinya, meminta askarnya agar diberikan makanan untuk membuka puasa.

Seorang tentera menghidangkan secawan penuh yogurt. Terpancar kegembiraan di mukanya lalu berkata:

“Malam ini, aku mungkin akan syahid kerana Rasulullah (saw) pernah berkata:

‘Ammar, pasukan pemberontak akan membunuhmu, dan makanan terakhirmu di dunia ini adalah secawan yogurt’.

Sahabat Rasulullah (saw) itu membatalkan puasanya dan mara ke medan peperangan. Beliau bertarung dengan beraninya. Akhirnya beliau gugur ke bumi dan syahid.

Imam Ali (as) menghampirinya dan duduk bersebelahan di kepalanya dan berkata dengan sedih:

“Semoga Allah merahmatimu sejak pada hari engkau menjadi seorang Muslim, semoga Allah merahmatimu sejak pada hari kamu menjadi seorang syahid, semoga Allah merahmatimu sejak engkau dibangkitkan dari kematianmu! Bergembiralah engkau ditamanmu!”.

Kesyahidan Ammar di medan perang itu memberi kesan yang besar kepada peperangan itu. Kesannnya mengakibatkan semangat tentera Amirulmukminin Ali (as) bertambah tinggi. Tidak kepada tentera Mu’awiyah.

Kedua-dua pasukan tentera mengetahui dengan jelas berkenaan hadis Rasulullah (saw) berkenaan dengan Ammar bin Yasir. Hadisnya berbunyi:

“Ammar akan dibunuh oleh pasukan pemberontak!”.

Mereka semua mengetahui Mu’awiyah dan tenteranya berada pada kebatilan manakala tentera Imam Ali (as) dan para sahabatnya adalah berada di jalan kebenaran.

Oleh kerana itu tentera Imam Ali (as) meningkatkan serangan demi serangan ke atas mereka. Manakala tentera Mu’awiyah mula berundur dan lari menyelamatkan diri.

Kisah 10 – Malik al-Ashtar

Helah Mu’awiyah


Mu’awiyah memikirkan dengan helahnya bagi memperdaya tentera Imam (as). Mu’awiyah meminta pendapat Amru al-Aas. Lalu dia berkata:

“Aku pasti mereka boleh ditipu dengan al-Quran”.

Mu’awiyah amat gembira dengan helah Amru itu. Lalu mengarahkan tenteranya agar mengangkat al-Quran yang diikat pada tombak-tombak mereka.

Apabila tentera Imam Ali (as) melihat perkara itu, mereka berpendapat untuk memberhentikan peperangan itu. Maka berjayalah Mu’awiyah dengan helahnya itu.

Tetapi Imam Ali (as) dapat merasakan bahawa ini adalah helah mereka. Lalu berkata:

“Ini merupakan helah! Aku telah mengajak mereka agar kembali kepada kitab Allah. Dan akulah yang pertama beriman kepada kitab ini. Mereka melanggar perintah Allah dan memungkiri janji.

Tetapi 20 ribu tenteranya tidak mahu mematuhui arahan Imam dan mereka berkata:

“Wahai Amirulmukminin! Hentikanlah peperangan ini, arahkanlah al-Ashtar agar menghentikan peperangan ini”.

Setelah mendengar pendapat-pendapat tenteranya, dengan berat hati Imam (as) mengarahkan agar serangan dihentikan. Beliau (as) masih berasa ragu dengan tindakan tentera Mu’awiyah itu.

Tetapi Malik al-Ashtar masih terus melakukan serangan, lalu beliau berkata:

“Kita akan mencapai kemenangan dalam beberapa ketika sahaja ini!”.

Lalu salah seorang tenteranya berkata:

“Tetapi askar-askar kita di sekeliling ini tidak mahu mematuhi arahan Amirulmukminin . Jika masih diteruskan, mereka akan membunuhnya”.

Mendengar akan perkara Malik al-Ashtar terpaksa memberhentikan serangan. Lalu beliau berkata:

“Tiada daya kekuatan, hanyalah kekuatan dari Allah!”.

Kisah 11 – Malik al-Ashtar

Timbang tara


Malik al-Ashtar mengetahui tindakan Mu’awiyah hanyalah tipu helahnya semata-mata. Tetapi kerana patuh kepada arahan Amirulmukminin (as) agar tidak ada bencana akan berlaku. Beliau merupakan seorang yang berani tetapi memiliki disiplin dan kepatuhan yang tinggi kepada pemimpin.

Serangan dihentikan. Dan kedua-dua belah tentera bersetuju untuk kembali kepada kitab Allah, al-Quran.

Mu’awiyah menghantar Amru bin al-Aas sebagai wakilnya untuk berunding. Dan Imam (as) juga mahu memilih seorang yang bijak dan arif. Lelaki yang arif dengan al-Quran. Jadi, beliau (as) memilih Abdullah bin Abbas, salah seorang agamawan kepada umat Islam yang hebat pada waktu itu.

Tetapi terdapat tentera Imam Ali (as) yang tidak menyetujui perlantikan Abdullah bin Abbas. Lalu berkata:

“Kami memilih Abu Musa al-Ashari”.

Lalu Imam Ali (as) menasihati mereka dan berkata:

“Aku tidak menyetujui kamu memilihnya. Kerana Abdullah bin Abbas lebih utama darinya.

Sekali lagi tentera yang cuba memberontak tidak menyetujuinya. Jadi Imam (as) berkata:

“Aku akan memilih al-Ashtar”.

Mereka tetap tidak mahu menyetujuinya. Bagi mereka Malik hanya mahukan peperangan sahaja. Mereka tetap kepada Abu Musa al-Ashari.

Imam Ali (as) tidak mempunyai pilihan, bagi mengelakkan perpecahan di dalam pasukkannya, lalu dengan berat hatinya Imam (as) berkata:

“Lakukanlah apa yang kamu mahukan!”.

Maka kedua wakil tersebut meneruskan perbincangannya. Amru al-Aas mewakili pasukan Mu’awiyah dan Abu Musa al-Ashari mewakili pasukan Imam Ali (as). Melalui mereka berdua inilah yang menentukan nasib kedua pasukan ini.

Amru al-Aas memikirkan cara untuk melemahkan Abu Musa melalui timbang tara ini. Lalu Amru berkata kepadanya:

“Wahai Abi Musa! Mu’awiyah dan Ali telah melakukan kesemua kepayahan ini. Jadi, marilah kita tinggalkan mereka berdua dan memilih orang lain”.

Abu Musa al-Ashari memang tidak menyukai Amirulmukminin Ali bin Abi Talib. Kerana tindakannya melalui Malik al-Ashtar yang menyingkirkan dari jabatan pemerintahan Kufah. Dia amat menyetujui cadangan itu. Dia berkata kepada semua:

“Aku mencabut Ali dari jabatan kekhalifahan sebagaimana aku mencabut cincinku dari jariku!”. Lalu dia mencabut cincin dari tangannya.

Dengan pantas, lalu Amru al-Aas berkata:

“Aku memasukkan Mu’awiyah kepada jabatan Kekhalifahan sebagaimana aku memasukkan cincin pada jariku”. Lalu Amru memasukkan cincin pada jarinya.

Keadaan menjadi gawat kembali. Baru pasukan tentera yang cuba memberontak kepada Imam Ali (as) tahu mengapa Imam (as) tidak mahu mengambil Abu Musa. Mereka menyedari akan kesalahan besar yang telah mereka lakukan kepada Imam (as). Dalam pada itu, mereka meminta ampun dan taubat kepada Allah dan melaungkan kembali peperangan semula.

Tetapi Imam (as) akur dengan keputusan yang telah dibuat melalui timbang tara dan wakil yang telah dilantik. Itu merupakan akhlak yang harus dicontohi.

Beliau (as) bersetuju dengan Mu’awiyah ke atas gencatan senjata dan apa-apa peperangan selama setahun.

Imam meminta agar para pejuangnya bersabar untuk masa setahun. Tetapi mereka yang seawal masa pemilihan Abu Musa itu, tidak mematuhi beliau (as). Mereka itulah yang dikenali sebagai puak Khawarij.

Kisah 12 – Malik al-Ashtar

Mesir


Mu’awiyah memikirkan jalan untuk menakluk Mesir. Oleh kerana itu, dia menghantar sejumlah tentera yang besar menduduki negeri itu.

Pemerintah Mesir pada waktu itu adalah Muhammad bin Abu Bakar (anak khalifah pertama). Beliau meminta Imam Ali (as) agar menghantarkan kelengkapan dan ketenteraan bagi membendung kemaraan tentera Mu’awiyah dari memasuki Mesir.

Lalu, Imam (as) berkata kepada Malik al-Ashtar:

“Malik, semoga Allah merahmatimu. Pergilah ke Mesir. Aku memiliki kepercayaan kepadamu. Demi Allah! Lakukanlah dengan cermat, berhati-hati dan dengan kelembutan”.

Maka bergeraklah Malik al-Ashtar ke Mesir.

Kisah 13 – Malik al-Ashtar

Racun dan Madu


Mu’awiyah menjadi sungguh gusar tentang berita berkenaan Malik al-Ashtar ke Mesir, beliau mengetahui bahawa Malik dapat mengatasi tenteranya. Jadi, Malik berfikir tentang pembunuhannya.

Mu’awiyah mengunakan campuran madu dan racun bagi mengatasinya. Mu’awiyah mengambil racun itu dari negara Rom. Orang Rom membenarkan Mu’awiyah untuk mengimport racun-racun dari negara mereka. Orang Rom tahu mereka akan mengunakan racun itu untuk membunuh orang-orang Muslim.

Amru bin Al-Aas berkata:

“Aku mengenali seorang lelaki. Dia tinggal di kota Qilzim. Dia memiliki tanah yang luas. Aku amat pasti Malik al-Ashtar akan melalui kota itu untuk berehat di situ.

Lalu Mu’awiyah berkata:

“Hantarkan seorang lelaki kepadanya agar membunuh al-Ashtar. Katakan kepadanya bahawa kita tidak akan mengenakan cukai kepadanya, selama-lamanya.

Maka orang suruhannya itu pergi membawa madu yang beracun itu ke Mesir agar dapat berjumpa lelaki kenalan Amru di kota Qilzim agar dia dapat membunuh Malik al-Ashtar.

Kisah 14 – Malik al-Ashtar

Kesyahidan


Lelaki di kota Qilzim itu bersetuju dengan cadangan Mu’awiyah dan syarat pelepasan cukai yang dijanjikan . Dia mengambil racun itu dan menunggu kedatangan Malik al-Ashtar.

Setelah beberapa hari, pasukan Malik tiba di kota Qilzim. Lelaki kaya itu menjemput Malik al-Ashtar penganti Muhammad bin Abu Bakar sebagai pemerintah baru di Mesir untuk jamuan tengahari di rumahnya. Tanpa syak, Malik memenuhi jemputan itu.

Lelaki kaya itu meletakkan madu yang beracun itu di atas mejanya. Lalu tetamu terhormatnya itu mengambil satu sudu madu yang diletakkan dan memakannya. Dengan serta merta Malik al-Ashtar mengalami kesakitan yang melampau pada perutnya. Beliau menyedari bahawa ini satu pakatan jahat. Beliau menahan kesakitan itu dengan meletakkan tangannya diperut lalu berkata:

“Dengan nama Allah, yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Kita berasal kepada Allah dan kita semua akan kembali kepada-Nya!”.

Malik al-Ashtar menerima kematiannya dengan berani dan penuh dengan keimanan, dan semua mengetahui perjuangnya adalah untuk Islam dan syurga.

Semasa berita kesyahidan Malik al-Asytar tersebar, Mu’awiyah tidak terbendung kegembiraannya. Lalu dia berkata:

“Ali bin Abu Talib memiliki dua tangan. Aku telah memotong satu tangannya pada hari Siffin. Ammar bin Yasir. Dan hari ini aku memotong satu lagi. Dia adalah Malik al-Ashtar!”.

Tidak kepada Imam Ali (as), beliau (as) tidak dapat menahan kesedihannya. Beliau (as) merintih kesedihan:

“Semoga Allah merahmati ke atas Malik! Dia mencintai dan mematuhiku sama seperti aku mencintai dan mematuhi Rasulullah (saw)!”.

Siasatan dijalankan, dan hasil maklumat itu memang merupakan rancangan Mu’awiyah bin Abu Sufyan.

Tamatlah perjuangan Malik al-Ashtar untuk berjihad di jalan Islam. Kecemerlangannya, akhlak dan taat setianya menjadi contoh kepada semua pemuda Muslim.

Selawat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s