Abu Dhar al-Ghifari

Kisah 1 : Abu Dhar al-Ghifari

Siapakah Abu Dhar?


Puak Ghifar merupakan salah satu puak yang terdapat dalam suku-suku Arab. Puak ini tinggal berhampiran dengan Madinah al-Munawarah (Yatrib), di mana kawasan mereka itu merupakan laluan pedagang-pedagang Mekah untuk ke utara jazirah Arab: Syam.

Ahli-ahli puak Ghifar merupakan penyembah berhala yang bernama Munat. Mereka menyembah berhala Munat dan mempercayai Munat dapat menentukan takdir dan peluang yang baik. Mereka menyembahnya dan melakukan korban kambing biri-biri untuk Munat.

Suatu hari, seorang pemuda miskin yang dimiliki oleh puak Ghifar telah pergi ke Munat. Pemuda itu bernama Jundub. Dia mempersembahkan yogut kepada Munat dan mula memerhatikannya. Tetapi patung Munat itu tetap tidak bergerak mahupun meminum yogut itu. Dia tetap memerhatikan Munat.

Tiba-tiba seekor musang menghampiri dan musang itu tidak menyedari yang Jundub ada di situ. Musang itu meminum yogut setelah itu ia menghampiri Munat, ianya mengangkat kakinya lalu kencing pada bahagian telinga patung itu. Tetap juga Munat tidak bergerak. Pemuda miskin itu mula ketawa. Dia mengejek Munat. Kemudian dia mengejek-gejek dirinya sendiri kerana menyembah patung itu yang tidak memahami apa-apa pun. Jundub pulang ke rumah.

Di dalam perjalanan, dia teringat kata-kata Qais bin Saydah semasa dia di pasar Ukadah:

“Wahai semua yang ada di sini, dengarlah dan fahamilah! Apa yang hidup pasti akan mati, sesiapa yang mati pasti akan binasa. Yang datang pasti akan berlaku. Mengapa aku lihat yang pergi tidak kembali lagi? Adakah mereka gembira dengan kehidupan mereka di sana? Adakah mereka tertinggal sesuatu di sana sehingga mereka tertidur di sana?”

Jundub melihat ke langit biru, awan yang cerah dan padang pasir yang terbentang. Kemudian dia teringat perbuatan musang tadi kepada Munat. Dia mempercayai di dunia ini ada Tuhan yang lebih berkuasa daripada Munat, Hubal, al-Lat dan patung-patung berhala yang lain.

Sejak pada itu Jundab bin Jundah tetap berkeyakinan bahawa terdapat tuhan yang lebih berkuasa yang menciptakan langit dan bumi ini.

Kisah 2 : Abu Dhar al-Ghifari

Terpancarnya cahaya pencarian


Ahli-ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) memberi perkhabaran bahawa pada waktu itu akan muncul seorang Nabi.

Puak-puak Arab mendengar berita itu. Kepada mereka yang tidak mempercayai patung-patung berhala, sudah lama menanti akan kemunculan Nabi baru itu.

Pada suatu hari, datang seorang penduduk Mekah dan memberitahu Jundub:

“Ada seorang di Mekah telah berkata; Tidak ada tuhan selain Allah, dan memberitahu bahawa dia adalah seorang Nabi”.

Jundub bertanya:

“Kaum mana yang memiliki lelaki itu?”

Lelaki itu menjawab:

“Dia dimiliki oleh Quraish”.

Jundub bertanya lagi:

“Puak Quraish mana yang memiliki lelaki itu?”

Lelaki itu menjawab:

“Dia dimiliki oleh Bani Hashim”.

“Apa yang puak Quraish lakukan ke atasnya?”

“Mereka menuduhnya sebagai penipu. Mereka mengatakan bahawa dia adalah tukang sihir dan gila”.

Lelaki itu beredar, tetapi Jundub masih termenung dan terus berfikir.

Kisah 3 : Abu Dhar al-Ghifari

Anis


Jundub berfikir untuk menghantar adik lelakinya, Anis, pergi ke Mekah untuk mencari berita berkenaan Nabi baru itu. Anis bertolak ke sana.

Perjalanan Anis dari tempatnya ke Mekah lebih kurang sejauh 100 batu.

Setelah mendapat cerita berkenaan Nabi itu, dengan segera Anis pulang memberitahu abangnya:

“Aku melihat lelaki itu. Dia mengarahkan manusia melakukan perkara baik dan menghalang melakukan perbuatan syaitan. Dia mengajak semua masyarakat Mekah agar menyembahkan diri kepada Allah. Aku melihat dia bersembahyang berhampiran Ka’abah. Aku juga melihat sepupunya, Ali turut bersembahyang disisinya. Dan aku juga melihat seorang perempuan, isterinya Khadijah, juga bersembahyang dibelakang mereka”.

Lalu Jundub bertanya lagi:

“Lagi apa yang kamu lihat?”.

Anis menjawab:

“Itulah yang lihat. Tetapi aku tidak berani untuk menegurnya kerana aku takut akan ketua-ketua Quraish”.

Kisah 4 : Abu Dhar al-Ghifari

Berangkat ke Mekah


Jundub tidak berpuas hati ke atas apa yang didengarinya. Jadi, dia mengaturkan perjalanannya sendiri ke Mekah untuk mengenali sendiri Nabi baru itu.

Apabila pemuda-pemuda Ghifar itu sampai di Mekah, matahari sedang melabuhkan cahayanya. Abu Dhar terus pergi bertawaf sekeliling Ka’abah, selesai mengelilinginya, dia duduk di penjuru rumah suci itu untuk berehat dan berfikir bagaimana dia boleh bertemu dengan Nabi baru itu.

Hari semakin gelap. Dan kawasan Ka’bah menjadi kosong dari orang ramai.

Pada waktu itu, seorang lelaki datang di perkarangan Masjid suci itu. Dia mula mengelilingi Ka’abah untuk bertawaf.

Lelaki itu ternampak terdapat orang luar duduk di sisi Ka’abah. Lalu dia menghampirinya dan menegurnya dengan lembut:

“Kamu seperti orang luar”.

“Ya..”

Lelaki itu berkata:

“Mari ikut ke rumah ku”.

Jundub bersetuju dan mengekori sahaja lelaki itu.

Menjelang pagi, Jundub berterima kasih kepada lelaki itu kerana menumpangkan dia di rumahnya. Dia mengucapkan selamat tinggal dan menuju ke telaga Zam-Zam untuk berjumpa dengan Nabi baru.

Jundub duduk berdekatan dengan telaga Zam-zam sambil menunggu. Berjam-jam lamanya dia menunggu sehingga hari gelap.

Kisah 5 : Abu Dhar al-Ghifari

Perjumpaan


Sekali lagi lelaki itu datang dan bertawaf mengelilingi Ka’bah. Lelaki itu masih melihat Jundub masih berada menantikan sesuatu.

Lelaki itu menegur Jundub:

“Adakah sepatutnya kamu sekarang ini pulang kerumah kamu?”

“Tidak” jawab Jundub ringkas.

Lelaki itu berkata lagi: “Marilah ke rumah aku”.

Jundub berdiri dan mengekori lelaki itu ke rumahnya. Dia senyap sahaja. Tiba-tiba lelaki itu berkata:

“Aku boleh melihat apa yang kamu sedang fikirkan, apa sebenarnya yang kamu mahukan?”

Jundub berkata dengan berhati-hati:

“Aku akan memberitahu jika kamu merahsiakannya”.

Lelaki itu menjawab:

“Aku akan simpan rahsia ini dengan kehendak Allah (swt)”.

Jundub berasa lega apabila lelaki itu menyebut nama Allah. Lalu dia menceritakan dengan nada yang perlahan:

“Aku terdengar tentang kemunculan seorang Nabi baru di Mekah ini dan aku datang untuk berjumpa dengannya”.

Lelaki itu tersenyum dan berkata:

“Allah telah memimpin kamu. Aku akan menunjukimu rumahnya. Ikut aku. Apabila aku melihat orang yang curiga, aku akan membetulkan selipar ku, engkau jangan berhenti teruskan sahaja dengan laluan engkau.

Lelaki itu pergi menuju ke rumah Junjungan Rasulullah (saw). Dan dalam pada itu Jundub mengekorinya dari belakang.

Kisah 6 : Abu Dhar al-Ghifari

Berimanan


Jundub sampai dengan selamatnya ke rumah Rasulullah (saw) dan bertemu Baginda (saw). Beliau merupakan seorang yang berani mencari dalam mencari kebenaran dan kebaikkan.

Rasulullah (saw) menyambutnya sebagai seorang tetamu yang dihormati. Baginda (saw) bertanya kepadanya:

“Darimana asal mu?”.

Jundub menjawab:

“Aku berasal dari puak Ghifar”.

Baginda (saw) bertanya lagi kepadanya:

“Apa yang kamu hajati”.

Lalu Jundub menjawab:

“Bagaimana aku boleh menjadi seorang Muslim?”

Lalu Baginda (saw) berkata:

“Islam adalah dengan mengaku bahawa : Tiada tuhan selain Allah dan Aku sebagai Utusan Allah”.

“Apa lagi” tanya Jundub yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam.

“Hindarkanlah dirimu dari melakukan perbuatan syaitan. Ikutilah perbuatan yang baik. Berhenti dari menyembah patung-patung. Berimanlah kepada Allah (swt) sahaja. Jangan boros dalam berbelanjakan wang. Dan jangan menzalimi orang lain.

Pemuda itu terus beriman kepada Allah (swt) dan Rasulullah (saw) dengan sepenuh hati. Lalu beliau berkata:

“Aku naik saksi, bahawa tiada tuhan selain Allah dan engkaulah Utusan Allah. Aku berpuas hati dengan Allah sebagai Tuhan-ku dan engkau sebagai Nabi-ku”.

Pada ketika itu, maka lahirlah seorang yang ulung di dunia ini. Beliau kemudiannya digelar Abu Dhar al-Ghifari yang mana nama asal beliau adalah Jundub bin Junadah.

Lalu Abu Dhar berdiri dan berkata dengan penuh semangatnya:

“Demi Allah, aku akan kembangkan Islam”.

Sebelum beliau meninggalkan rumah Rasulullah (saw), beliau bertanya kepada Baginda (saw):

“Siapakah lelaki yang menunjukkan aku itu tadi?”

Dengan takzimnya, Rasulullah (saw) menjawab:

“Dia adalah sepupuku, Ali bin Abu Talib”.

Lalu Junjungan Rasulullah (saw) menasihati Abu Dhar:

“Wahai Abu Dhar, rahsiakan hal keislamanmu dan pulanglah ke semula ke kampung halaman mu.”

Abu Dhar mengetahui bahawa Rasulullah (saw) amat risau akan keselamatannya kerana mungkin kafir Quraish akan membunuhnya.

“Demi Allah, aku akan menyebarkan Islam dikalangan kafir Quraish walaubagaimana pun keadaannya”.

Pada keesokan pagi, Abu Dhar pergi mengunjungi Ka’bah. Rumah suci Allah (swt). Patung-patung disekeliling Ka’bah masih tidak bergerak dari tempatnya. Lalu Abu Dhar menyusup masuk ke tengah-tengah orang Quraish yang sedang sibuk menyembah berhala-berhala, ada juga orang Quraish masih memikirkan dan bercakap-cakap mengenai agama baru yang dibawa oleh Rasulullah (saw).

Tiba-tiba satu jeritan mengemparkan sekitar Ka’bah:

“Wahai Quraish, Aku bersumpah tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu Utusan Allah”.

Semua yang berada di situ terkejut dan gempar dengan pekikan itu.

Salah seorang dari orang Quraish itu melompat dari tempat duduknya dan berkata:

“Siapa yang menghina tuhan-tuhan kita?”

Sebahagian dari mereka menyerbu ke arah Abu Dhar dan mula memukul-mukulnya sehingga pengsan. Darah mengalir dari badannya.

Al-Abbas, salah seorang pakcik Rasulullah (saw) datang menyelamatkan Abu Dhar dan berkata dengan kerasnya:

“Celakalah kamu, adakah kamu mahu membunuh lelaki yang datang dari puak Ghifar ini? Tak tahukah kamu, bahawa pedagang kamu akan melalui kawasan puak lelaki ini?”

Abu Dhar tersedar dari pengsan dan pergi ke telaga Zam Zam. Beliau meminum dan membersihkan darah yang mengalir dari badannya.

Sekali lagi Abu Dhar mahu bersemuka dengan orang Quraish. Beliau menuju ke Ka’bah. Dan berdiri disisi Ka’bah lalu berkata dengan lantangnya:

“Aku bersumpah tiada tuhan selain Allah, tidak ada sekutu dengan-Nya. Dan aku bersumpah Muhammad itu Utusan Allah”.

Sekali lagi orang Quraish menyerangnya bagai sekumpulan serigala menerkam musuhnya. Mereka memukulnya sehingga pengsan dan sekali lagi al-Abbas menyelamatkannya.

Kisah 7 : Abu Dhar al-Ghifari

Pulanglah ke tempatmu


Abu Dhar bertemu semula Rasulullah (saw). Nabi (saw) berasa amat dukacita kerana melihat keadaannya yang cedera. Baginda (saw) berkata kepadanya:

“Wahai Ammar, pulanglah kepada kabilahmu dan ajaklah mereka kepada Islam”.

Abu Dhar membalas kata-kata Rasulullah (saw):

“Wahai Nabi Allah, aku akan pulang kepada kabilahku, dan aku tidak akan melupakan apa yang Quraish telah lakukan kepadaku!”.

Abu Dhar pulang ke tempatnya dan mula mengajak puaknya masuk ke dalam cahaya Islam. Adiknya Anis, ibunya dan separuh dari kabilahnya mula beriman dengan ajaran Islam.

Dan sebahagiannya berkata:

“Kami tidak akan beriman sehingga Rasulullah (saw) datang ke sini”.

Kisah 8 : Abu Dhar al-Ghifari

Menyambut penghijrahan


Hari, bulan dan tahun bersilih ganti. Rasulullah (saw) berhijrah dari Mekah ke Madinah. Berita itu sampai kepada Abu Dhar al-Ghifari lalu beliau dan kabilahnya telah keluar dan menuju ke kota bagi menyambut kedatangan Rasulullah (saw) di tengah perjalanan Baginda (saw) ke Yatrib.

Dari kejauhan, Abu Dhar ternampak Rasulullah (saw) kelihatan berjalan dibelakang unta betinanya, al-Qaswa. Abu Dhar bergegas menuju ke arah Baginda (saw) dan mencapai tampuk unta Baginda (saw) dan memberi berita gembira kepada Rasulullah (saw):

“Wahai Rasulullah..! adikku, ibuku, dan ramai dari kabilahku telah beriman kepada Islam”.

Nabi kita, Junjungan Rasulullah (saw) berasa sungguh gembira apabila melihat orang yang ramai datang menyambutnya. Salah seorang berkata kepada Baginda (saw):

“Wahai Rasulullah, Abu Dhar mengajar kami apa yang engkau telah ajarkan kepadanya. Kami percaya kepada Islam, dan mengaku bahawa engkau adalah Utusan Allah!”

Sebahagian daripada kabilah Abu Dhar yang belum memeluk agama Islam telah beriman kepada Baginda (saw) pada hari itu. Manakala sebuah kabilah yang berhampiran dengan puak Ghifar yang dikenali sebagai Aslam turut serta menyambut kedatangan Rasulullah (saw), mereka juga menyatakan keislaman mereka dihadapan Rasulullah (saw).

“Kami percaya kepada Islam, dan mengaku bahawa engkau adalah Utusan Allah!”

Lalu Baginda (saw) berkata:

“Semoga Allah mengampuni Ghifar, moga Allah menyelamatkan Aslam”.

Rasulullah (saw) menyambung kembali perjalanannya ke Yatrib (Madinah al-Munawarah). Dan Abu Dhar dan pengikutnya pulang ke kabilahnya, ada daripada mereka bertanya:

“Adakah Rasulullah (saw) telah berkata apa kepada kamu?”.

“Ya! Baginda (saw) telah mengarahkanku untuk lakukan tujuh perkara:

Baginda telah mengarahkanku untuk mencintai orang miskin dan beri layanan yang baik kepada mereka. Baginda telah mengarahkanku untuk mengambil berat orang-orang di bawahku, bukan orang yang tinggi kedudukannya dariku. Baginda telah mengarahkanku untuk menjaga hubungan rapat saudaranya walaupun mereka ingin melakukan keburukan kepadaku. Baginda telah mengarahkanku untuk tidak meminta-minta dari orang lain. Baginda telah mengarahkanku untuk bercakap benar walaupun pahit atau susah. Baginda telah mengarahkanku untuk tidak takut kepada sesiapa untuk ke jalan Allah (swt). Baginda telah mengarahkanku untuk sentiasa berzikir:

Tiada kekuatan atau kekuasaan melainkan dengan pertolongan Allah, kerana mereka (Nabi dan Ahli keluarganya) adalah kekayaan yang berada dibawah Arasy.

Abu Dhar meneruskan dakwahnya bagi memimpin dan mengajar kabilahnya. Beliau merupakan salah seorang model bagi orang Muslim.

Kisah 9 : Abu Dhar al-Ghifari

Nasihatilah Aku


Pada suatu hari, Abu Dhar datang ke masjid nabi. Beliau melihat Rasulullah (saw) bersendirian. Beliau menghampiri dan duduk disebelah Baginda (saw). Lalu Rasulullah (saw) memulakan bicara:

“Wahai Abu Dhar, masjid memiliki salam. Salamnya adalah dengan dua rakaat”.

Lalu Abu Dhar berdiri dan pergi melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat. Setelah itu dia kembali semula duduk di sebelah Rasulullah (saw) dan bertanya kepada Baginda (saw):

“Wahai Nabi Allah, perbuatan apakah yang terbaik sekali?”

Baginda (saw) menjawab : “Dengan beriman kepada Allah yang maha Agung dan berjihad di jalan-Nya”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Bagaimanakah ciri orang yang beriman paling sempurna?”.

Baginda (saw) menjawab : “Yang paling bersopan”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, orang yang beriman yang manakah paling selamat?”.

Baginda (saw) menjawab : “Dia, melalui lidah dan tangannya menjadikan umat Islam menjadi selamat”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, hijrah yang bagaimana adalah yang terbaik?”.

Baginda (saw) menjawab : “Hijrah dari berbuat dosa”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, sedekah siapakah yang paling terbaik?”.

Baginda (saw) menjawab : “Sedekah dari seorang miskin”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, manakah ayat al-Quran yang paling terbaik?”.

Baginda (saw) menjawab : “Ayat al-Kursi”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, berapa ramaikah bilangan nabi yang diutuskan?”.

Baginda (saw) menjawab : “Semuanya 124 ribu orang nabi. Wahai Abu Dhar, 4 orang nabi adalah Assyria. Mereka adalah Adam, Sith, Idris : yang pertama mengunakan pen untuk menulis, dan Nabi Nuh. 4 orang nabi dari Arab. Mereka adalah Hud, Salleh, Shuaib dan Nabimu”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, berapa buah kitab yang diturunkan Allah (swt)?”.

Baginda (saw) menjawab : “104 buah kitab. 50 kitab diturunkan kepada Nabi Sith. 30 buah kitab kepada Nabi Idris. 10 buah kitab kepada Nabi Ibrahim. 10 buah kitab kepada Musa sebelum Taurat. Kemudian Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran juga diturunkan”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, apakah yang terkandung di dalam kitab Nabi Ibrahim (as)?”.

Baginda (saw) menjawab : “Kitab-kitab itu semuanya hanya terkandung ucapan-ucapan ringkas: contohnya ‘Dibenarkan untuk memerangi Raja yang zalim, Aku tidak mengutuskan untuk bersama-sama dengan perkara-perkara dunia. Aku utuskan kamu, untuk memenuhi permintaan yang ditindas. Aku tidak menolaknya walaupun ianya adalah permintaan orang-orang kafir!”.

Abu Dhar bertanya lagi : “Wahai Nabi Allah, apakah yang terkandung di dalam kitab Nabi Musa (as)?”.

Baginda (saw) menjawab : “Kitab-kitab itu semuanya hanya terkandung pengajaran-pengajaran sebagai contoh:

Aku hairan kepada orang yang percaya kepada kematian tetapi mereka kafir.

Aku hairan kepada orang yang percaya kepada Neraka tetapi mereka ketawa.

Aku hairan kepada orang yang percaya kepada takdir tetapi mereka letih.

Aku hairan kepada orang yang melihat dunia, dia berubah dan mempercayainya.

Dan aku hairan kepada orang yang mempercayai hari Kiamat tetapi dia tidak bertindak”.

Abu Dhar menangis merendahkan diri dan berkata:

“Wahai Nabi Allah, nasihatilah aku!”.

Baginda (saw) menjawab : “Aku nasihatkan engkau agar takutkan Allah, kerana itu adalah kepala kepada semua agama samawi”.

“Apalagi, wahai Nabi Allah”

“Bacalah al-Quran. Ianya adalah cahaya kepada kamu di dunia ini dan ingatan kamu kepada yang dilangit”

“Apalagi, wahai Nabi Allah”

“Cintailah kepada yang miskin dan duduklah bersama mereka”.

Kisah 10 : Abu Dhar al-Ghifari

Perjalanan ke Tabuk


Beberapa tahun pun berlalu.

Umat Islam membina sebuah negara. Mereka memiliki sebuah kerajaan. Mereka mencapai kejayaan ke atas puak yang tidak mempercayai Allah dan musuh dari puak-puak Yahudi. Puak-puak Arab masuk ke dalam agama Allah secara beramai-ramai.

Nabi kita, Nabi Muhammad (saw) menjadi Utusan Allah kepada semua manusia. Jadi, Baginda (saw) mahukan Islam berkembang di luar semenanjung Arab dan berkembang seluruh dunia.

Nabi kita Muhammad (saw) mengumumkan jihad and mengarahkan umat Islam untuk pergi berjihad ke Tabok, di bahagian utara Semenanjung Arab.

Orang Muslim terkejut mendengar pengumuman Rasulullah (saw). Cabaran Baginda (saw) adalah ke atas kuasa yang besar pada waktu itu. Kerajaan Rom!

Ada segelintir munafik berkata:

“Herculis akan menewaskan mereka dengan kekuatan tenteranya”.

Orang munafik pada waktu itu sering mengadakan perjumpaan mereka di rumah Suailim, seorang Yahudi. Mereka selalu melemahkan semangat orang Islam agar tidak pergi ke Tabuk.

Rasulullah (saw) mahu meninggalkan Madinah. Baginda (saw) mengetahui golongan munafik itu akan tetap di situ. Baginda (saw) membuat keputusan untuk melantik sepupunya, Imam Ali bin Abi Talib, pemuka Islam, menggantikannya sepanjang ketiadaan Baginda (saw) untuk menangani rancangan-rancangan orang-orang munafik itu nanti.

Kumpulan munafik sememangnya tidak menyenangi Imam Ali, lalu mereka menyebarkan fitnah dan umpatan di kalangan masyarakat Madinah:

“Rasulullah telah melantik Ali untuk tinggal di sini, kerana Baginda (saw) tidak menyukainya!”.

Bagi menunjukkan kebenaran kepada semua, Imam Ali terus mengambil pedangnya dan memacu kudanya untuk mengekori Rasulullah (saw) ke Tabuk. Imam Ali bertemu Rasulullah (saw) di satu kawasan dikenali sebagai al-Juruf di luar Madinah. Beliau memberitahu Rasulullah (saw) kata-kata orang munafik yang tersebar itu:

“Wahai Nabi Allah, para munafik itu menyatakan bahawa Engkau melantikku agar aku tidak serta di dalam peperangan ini kerana Engkau tidak menyukaiku!”.

Nabi kita Muhammad (saw) tersenyum dan berkata:

“Orang munafik berkata dusta. Aku melantik kamu kerena kamu adalah pengantiku bagi melindungi Madinah dari perbuatan licik mereka. Tidakkah engkau terima menjadi penggantiku sebagaimana Harun disisi Musa, tetapi cumanya tidak akan ada nabi lagi selepasku!”.

Imam Ali (as) menjawab:

“Ya, aku menerimanya wahai Nabi Allah”.

Imam Ali (as) berasa amat gembira dengan kata-kata Rasulullah (saw) itu. Beliau (as) pulang semula ke Madinah al-Munawarah. Sekembalinya di sana beliau (as) menceritakan perkara itu kepada ahlul bayt dan pengikutnya.

Kisah 11 : Abu Dhar al-Ghifari

Itulah Abu Dhar


Nabi Muhammad (saw) pergi mengetuai pasukan Islam merentasi gurun. Ada segelintir umat Islam yang lemah imannya tinggal dan pulang semula ke Madinah.

Ada segelintir umat Islam mengadukan perkara ini kepada Nabi Muhammad (saw):

“Wahai Nabi Allah, ada yang tidak meneruskan bersama pasukan kita!”.

Lalu Rasulullah (saw) berkata:

“Tinggalkan mereka. Jika mereka melakukan perkara yang baik, Allah akan membawa mereka kembali kepada kamu”.

Dipertengahan jalan, seorang Muslim berkata:

“Wahai Rasulullah (saw), Abu Dhar telah meninggalkan kita!”.

Tetapi Rasulullah (saw) mengulang-gulang perkataannya:

“Tinggalkan dia. Jika dia melakukan perkara yang baik, Allah akan membawa dia kembali kepada kamu”.

Tentera Muslim meredah kawasan gurun yang panas itu.

Abu Dhar menungang seekor unta yang lemah. Untanya tidak dapat berjalan. Jadi, Abu Dhar telah tertinggal ke belakang dari pasukan tentera Islam. Untanya terus terduduk. Ia tidak dapat meneruskan perjalanan walaupun selangkah.

Abu Dhar duduk kesedihan. Beliau terfikir tentang perjalanan mengikuti pasukan Rasulullah (saw), beliau bertanya kepada dirinya sendiri:

“Perlukah aku pulang ke Madinah atau aku teruskan perjalanan ini dengan berjalan kaki?”.

Sebenarnya Abu Dhar tidak terfikir untuk pulang ke Madinah. Beliau merupakan seorang yang taat. Beliau amat mencintai dan patuh kepada Rasulullah (saw). Oleh kerana itu, Beliau mengambil keputusan untuk meneruskan perjalannya dengan mengikuti jejak-jejak tentera Muslim itu kembali.

Abu Dhar mula merentasi gurun yang panas terik itu. Dengan hanya berjalan dan berbekal dengan sedikit air. Beliau berjalan dan terus berjalan. Keimanannya kukuh kepada Allah (swt) dan kecintaannya kepada Junjungan Rasulullah (saw) yang mendorongnya untuk meneruskan perjalanan jihadnya.

Beliau terasa sungguh haus. Beliau ternampak air dicelahan batu. Beliau merasainya, dan mendapati ianya sungguh segar. Beliau terasa ingin meminum lagi. Tetapi menahan perasaannya dari meminumnya. Beliau berkata kepada dirinya:

“Aku tidak akan meminumnya sehingga kekasihku Junjungan Rasulullah (saw) meminumnya!”.

Beliau menyimpan air itu ke dalam bekas kulit dan meneruskan berjalan kaki merentasi gurun yang panas itu.

Abu Dhar berjalan siang dan malam untuk mengejar pasukan tentera Muslim.

Pasukan itu berkhemah di sebuah kawasan yang strategik untuk berehat di malam hari. Dari kawasan itu barulah mereka dapat menyerang Tabuk.

Apabila matahari terbit pada keesokkan harinya, dari kejauhan pasukan Islam ternampak susuk seorang lelaki berjalan ke arah mereka. Mereka berasa khutair dan lalu mengadukan hal itu kepada Rasulullah (saw):

“Wahai Rasulullah, ada lelaki berjalan bersendirian!”.

Dengan sepontan Rasulullah (saw) menjawab “Itu adalah Abu Dhar”.

Tentera-tentera Islam memerhatikan lelaki itu dengan hati-hati. Apabila lelaki itu semakin menghampiri, mereka beteriak:

“Demi Allah, itu adalah Abu Dhar!”.

Junjungan Rasulullah (saw) melihat kelesuan yang teramat di mukanya. Lalu Baginda (saw) berkata:

“Selamatkan dia dengan air kerana dia mengalami kehausan yang teruk”.

Tetapi Abu Dhar terus menuju kepada Rasulullah (saw) sambil memegang beg airnya agar dapat memberikannya kepada Rasulullah (saw)

Lalu Baginda (saw) bertanya kepadanya:

“Wahai Abu Dhar, mengapa kamu kehausan walaupun kamu mempunyai air?”.

Abu Dhar berkata:

“Wahai Rasulullah, aku ternampak air hujan di dalam sebuah lubang batu. Aku merasainya. Ianya amat sejuk, segar, tetapi berkata kepada diriku bahawa aku tidak akan minum sehingga Junjungan Rasulullah meminumnya!”.

Rasulullah (saw) membalasnya dengan lembut:

“Wahai Abu Dhar, semoga Allah merahmatimu! Engkau hidup keseorangan dan mati keseorangan. Akan ada penduduk Iraq akan menemanimu, merekalah yang akan memandikanmu, mengkafankan kamu, menyolati kamu dan mengebumikan kamu”.

Kisah 12 : Abu Dhar al-Ghifari

Wasiat Rasulullah (saw)


Nabi Muhammad (saw) telah wafat. Seluruh umat Islam berasa amat sedih. Tetapi kesedihan Abu Dhar mengatasi mereka. Beliau amat taat kepada Rasulullah (saw). Beliau teringat akan wasiat Rasulullah (saw) dalam menerangi jalan umat Islam setelah ketiadaan Baginda (saw).

Abu Dhar mempunyai kepercayaan yang amat tinggi dengan menganggap jabatan kekhalifahan sama seperti kepada jabatan kenabian. Beliau menganggap keduanya merupakan hak Allah dalam menentukannya. Baginya Allah sahaja yang berhak memilih hambanya yang soleh bagi memenuhi jabatan kekhalifahan untuk meneruskan kepimpinan umat Islam selepas terhentinya jabatan kenabian akibat dari kewafatan Nabi Muhammad (saw). Beliau teringat kata-kata Rasulullah (saw) kepada Imam Ali (as) semasa perjalanan ke Tabuk:

“…wahai Ali, Tidakkah engkau terima menjadi penggantiku sebagaimana Harun di sisi Musa, tetapi cumanya tidak akan ada nabi lagi selepasku…!”.

Juga semasa di Ghadir Khum, Abu Dhar juga mendengar khutbah Rasulullah (saw) berkata kepada seluruh umat Islam:

“Sesiapa yang menganggapku sebagai ketua, maka Ali adalah ketuanya. Allah membantu kepada siapa membantunya…!”.

Abu Dhar juga pernah mendengar di mana Rasulullah (saw) pernah berkata:

“Ali bersama kebenaran dan kebenaran juga bersama Ali”.

Beliau amat menyesali kerana terdapat sesetengah umat Islam yang sengaja melupai wasiat itu selepas kewafatan Baginda (saw). Semasa sepupu dan ahli keluarga Rasulullah (saw) sedang sibuk menguruskan jenazah suci Baginda (saw), mereka telah mengadakan perjumpaan dan melantik Abu Bakar sebagai Khalifah.

Ramai para sahabat rapat Rasulullah (saw) menentang perlantikkan itu. Begitu juga Salman al-Farisi. Beliau yang dikenali oleh Rasulullah (saw) sebagai salah seorang Ahli Keluarganya (Ahlul Bait).

Abadah bin Saamit, Abu al-Haitham al-Taihan, Huthaifa, Ammar bin Yasir, mereka semua tidak bersetuju dengan perlantikan itu. Fatimah al-Zahra (as), ketua wanita mukmin sepanjang zaman dan di syurga, juga tidak merestui perkara perlantikan itu. Beliau amat marah.

Abu Dhar selalu memikirkan tentang kepentingan Islam dan seluruh umat Islam. Di sebabkan itulah beliau turun ke medan jihad bagi mempertahankan kerajaan Islam.

Ketika itu juga, kerajaan Rom telah membuat serangan di sempadan negara Islam di bahagian utara. Oleh kerana itu Abu Dhar terlah pergi menyertai sebahagian besar para sahabat ke peperangan tersebut kerana Allah (swt).

Abu Bakar merupakan Khalifah pertama yang dilantik. Setelah itu Ummar al-Khattab mengantikannya. Abu Dhar berada di Syam (Syria). Beliau dan saudara Islamnya berjuang di sana.

Setelah Umar al-Khattab meninggal dunia, Uthman bin Affan diundi bagi mengantikannya. Tetapi Khalifah ketiga itu tidak meneruskan budaya kepimpinan Rasulullah (saw) dan para sahabatnya.Khalifah telah membawa sanak saudaranya dan melantik mereka menjawat jabatan-jabatan penting di dalam kerajaannya. Khalifah mula memenuhkan poketnya dengan kekayaan orang Islam. Khalifah membawa kembali Marwan bin al-Hakam, di mana Rasulullah (saw) pernah menghalaunya dan mengangkatnya sebagai pemerintah negara.

Umat Islam mengkritik dasar yang dibuat oleh Uthman. Para deligasi dari Kufah datang berjumpa khalifah. Mereka mengadukan kepadanya tentang Gabenor mereka yang sering meminum Arak dan sering mendatangi masjid dalam keadaan mabuk dan muntah di tempat solat di dalam masjid.

Tetapi Khalifah Uthman tidak menghiraukannya. Malahan, Marwan memukul dan menghalau deligasi tersebut. Terdapat juga sahabat Rasulullah (saw) di dalam deligasi Kufah itu.

Suatu hari semasa Uthman berkhutbah, Abu Dhar telah menasihati beliau:

“…sekurang-kurangnya ikutlah jejak khalifah-khalifah kamu yang lepas. Dengan itu tiada yang akan menentang kamu!”.

Tetapi Uthman mengherdik Abu Dhar dan bertanya kepada umat Islam yang hadir:

“Nasihatkan aku. Apa yang aku patut lakukan ke atas Syeikh yang berbohong ini? Perlukah aku memukulnya, penjara, bunuh atau buang dia dari tanah Islam ini?”.

Abu Dhar dan umat Islam yang lain berasa amat sakit hati dengan kata-kata itu. Mereka teringatkan kata-kata Junjungan Rasulullah (saw):

“Tiada seorangpun dibawah langit ini dan di atas bumi ini lebih lantang kebenarannya melainkan Abu Dhar!”.

Tetapi Khalifah telah menuduh Abu Dhar sebagai pembohong dan berkata:

“Syeikh yang penipu…!”.

Abu Dhar berasa sedih dan keluar dari perjumpaan itu. Beliau teringatkan suatu kisah yang berlaku kepadanya 20 tahun yang lalu. Beliau teringat suatu hari Baginda (saw) masuk ke dalam masjid dan mendapati beliau sedang tidur. Baginda mengejutkannya dan berkata:

“Jangan tidur lagi di masjid”.

Kemudian Baginda (saw) berkata kepada beliau:

“Apa yang akan kamu lakukan jika mereka menghalau kamu keluar dari masjid ini satu hari nanti?”.

“Aku akan pergi ke Sham, itu adalah tanah untuk berjihad!”.

Dan Rasulullah (saw) bertanya lagi:

“Jika kamu dihalau lagi?”.

Abu Dhar berkata:

“Aku akan kembali semula ke Masjid ini”.

Dan Rasulullah (saw) bertanya lagi:

“Jika mereka menghalau kamu darinya juga?”.

Lalu Abu Dhar menjawab:

“Aku akan mengangkat pedangku dan memukul mereka dengannya”.

Lalu Rasulullah (saw) berkata kepadanya:

“Mahukah kamu, aku menunjukkan jalan yang terbaik untuk kamu!”.

“Ya, wahai Nabi Allah”.

Dan Rasulullah (saw) pun berpesan kepadanya:

“Dengar dan patuh”.

Kisah 13 : Abu Dhar al-Ghifari

Menuju ke Syam


Khalifah ke-3 membuat keputusan untuk membuang Abu Dhar ke Syam. Sesampainya beliau di Syam. Pemerintah yang pada ketika itu, Mu’awiyah mengarahkan askarnya, membuang Abu Dhar di kawasan selatan Lubnan, sekarang kawasan itu dikenali sebagai Jabal Amil.

Di situ Abu Dhar mula mengajar penduduk di situ dengan ajaran-ajaran sebenar Rasulullah (saw). Beliau mengkritik pemerintahan yang korup, tindak-tanduk mereka kepada masyarakat dan kekayaan mereka.

Beliau sering membaca ayat-ayat Allah (swt):

“…dan bagi orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka tentang azab yang pedih”.

Mu’awiyah mahu memujuk Abu Dhar dengan memberikannya wang agar beliau berdiam diri. Jadi, Mu’awiyah mengarahkan askarnya untuk membawanya ke kota Damsyik. Dalam pada itu, dia membawakan juga hadiah-hadiah yang banyak. Tetapi sahabat Rasulullah (saw) ini telah memberikannya kepada orang miskin.

Semasa Abu Dhar melewati istana Mu’awiyah, beliau berkata:

“Allah mengutuk orang yang menikmati kekayaan dan kebaikan, tetapi tidak berbelanja di jalan-Nya. Allah mengutuk orang-orang yang menghalang daripada melakukan tindakan keji, tetapi mereka melakukannya…”.

Mu’awiyah mengarahkan askarnya untuk menangkap Abu Dhar. Beliau dirantai dan dibawa kepada Mu’awiyah. Mu’awiyah berkata dengan nada yang tinggi:

“Musuh Allah dan juga musuh Rasulullah, setiap hari kamu melewati istana ini dan menjerit-jerit. Aku akan bertanyakan Amirul Mukminin, Uthman agar membenarkanku untuk membunuh kamu!”.

Lalu Mu’awiyah berpaling kepada askarnya dan berkata:

“Hantarkannya ke penjara!”.

 

Kisah 14 : Abu Dhar al-Ghifari

Ke Madinah


Mu’awiyah mengutuskan surat kepada Khalifah Uthman. Di dalam surat itu, Mu’awiyah mengadukan perlakuan Abu Dhar dan pakatannya dengan masyarakat setempat untuk tujuan menganggu pentadbirannya.

Khalifah mengarahkan Mu’awiyah agar menghantar kembali Abu Dhar ke Madinah dan menyiksa beliau kerana kesalahan yang dilakukan.

Masyarakat Islam telah mendapat tahu perkara itu. Lalu mereka berkumpul untuk melihat kehadiran semula sahabat mulia Junjungan Rasulullah (saw).

Abu Dhar menunggang unta betinanya. Ada beberapa orang pengawal yang kasar mengawal unta betinanya itu. Mereka tidak menghormati dan bertimbang rasa kepada Abu Dzar yang sudah lanjut usiannya, lemah dan terlalu letih mengharungi gurun yang direntasi dari Syam ke Madinah.

Abu Dhar sampai ke kota Madinah dalam keaadaan yang amat menyayatkan hati. Beliau terus dibawa kepada Khalifah. Beliau hampir terjatuh ke atas tanah akibat terlalu lemah dan letih.

Dalam keadaan yang lemah, Abu Dhar berkata:

“Celaka ke atas engkau! Tidakkah engkau melihat Rasulullah? Adakah engkau bertindak sebagaimana Baginda? Engkau perlakukan keganasan ke atasku bagaikan penzalim!

Uthman mengherdik kembali:

“Keluar kau dari tanahair kami!”.

Dengan sedih Abu Dhar berkata:

“Kemana?”.

Uthman menjawab:

“Kemana sahaja yang kau mahukan!”.

“Bolehkah aku pergi ke Syam, tanah untuk berjihad?”.

Uthman membantah:

“Tidak, aku tidak akan membenarkan engkau pergi ke Syam!”.

Abu Dhar memohon lagi:

“Bolehkah aku ke Iraq?”.

“Tidak!”.

“Bolehkah aku ke Mesir?”.

“Tidak!”.

Abu Dhar berkata dengan sedih:

“Jadi, kemana lagi yang harus aku pergi?”.

“Pergilah kamu ke gurun!”

“Bolehkah aku ke gurun Najd?”.

“Bukan… ke timur jauh, ke al-Rabathah!”.

Abu Dhar menjerit terkejut:

“Allahuakbar! Benarlah Rasulullah! Dengan apa yang disampaikan kepada ku?”.

Uthman terkejut, lalu bertanya:

“Apa yang dikabarkan kepadamu?”.

Lalu sahabat mulia Rasulullah (saw) itu menjawab:

“Baginda (saw) memberitahuku bahawa aku akan dihalang untuk tinggal di Mekah dan Madinah. Aku akan mati di al-Rabathah dan beberapa orang Iraq didalam perjalanan ke Hijaz akan mengebumikan aku”.

Kisah 15 : Abu Dhar al-Ghifari

Al-Rabathah


Al-Rabathah adalah sebuah kawasan di bahagian timur jauh dari Madinah al-Munawarah.

Abu Dhar tidak menyukai al-Rabathah kerana tempat itu mengingatkan beliau semasa penyembahan berhala di zaman sebelum kedatangan Islam.

Beliau mencintai Madinah kerana di sana terdapat Makam Nabi dan Masjid Nabawi yang suci. Beliau mencintai Mekah kerana terdapat Rumah Suci Allah, Kaabah. Dan Beliau mencintai Syam kerana itulah tanah untuk berjihad.

Abu Dhar memang tidak menyukai al-Rabathah. Tetapi ke tempat itulah beliau bakal dibuang daerah oleh Khalifah. Dalam pada masa yang sama, Khalifah Uthman mengarahkan Marwan mengheretnya ke sana, Khalifah juga mengarahkan agar tidak seorang Muslim pun diizinkan datang berjumpanya.

Umat Islam pada zaman itu amat takut dengan kuasa Khalifah. Mereka semua akur. Tetapi beberapa sahabat agung Rasulullah (saw) tetap menjenguk Abu Dhar. Mereka adalah Imam Ali bin Abi Talib (as), saudaranya Aqil, Imam Hassan (as) dan Imam Husain (as) cucu Rasulullah (saw), dan Ammar bin Yasir sahabat rapat Baginda (saw).

Imam Ali (as) yang pertama kehadapan bertemu dengannya. Beliau (as) berkata:

“Wahai Abu Dhar, engkau marah kerana Allah. Mereka bimbang tentang agama mereka, dan engkau juga bimbang tentang agama engkau. Jadi, tinggalkanlah apa yang mereka bimbangkan dari tanganmu, dan berlepas dirilah kamu dari mereka. Dan engkau tidak memerlukan apa-apa dari apa yang mereka cuba sorokkan darimu. Esok engkau akan mati sebagai seorang yang berjaya. Wahai Abu Dhar, tiada yang engkau sukai melainkan kebenaran dan tiada yang menjengkelkan engkau melainkan pembohongan”.

Kemudian Aqil kehadapan lalu berkata kepadanya:

“Engkau tahu bahawa kami mencintai kamu, dan kamu mencintai kami. Takutlah kepada Allah, kerana ketakutan kepada Allah adalah tanda penghambaan. Dan bersabarlah kerana sabar adalah kemurahan hati”.

Kemudian cucu Rasulullah (saw), Imam Hasan bin Ali bin Abu Talib (as) kehadapan lalu berkata kepadanya:

“Wahai pakcik, sabarlah sehingga kamu bertemu dengan Rasulullah (saw). Baginda (saw) akan meredhaimu”.

Kemudian Imam Husain bin Ali (as) kehadapan lalu berkata kepadanya:

“Wahai pakcik, berdoalah ke hadrat Allah (swt) agar menganugerahkan kamu kesabarab dan kejayaan”.

Sementara itu Ammar bin Yasir menangis, beliau mara kehadapan Abu Dhar dan berkata:

“Semoga Allah membenci kepada orang yang menzalimi engkau. Dan semoga Dia (swt) tidak memberi keselamatan kepada sesiapa yang mengecewakan dikau. Demi Allah! Jika engkau mahukan dunia mereka, mereka akan memberi keselamatan kepada kamu. Dan jika engkau meredhai perbuatan mereka, mereka akan mencintaimu”.

Abu Dhar menangis, lalu berkata:

“Wahai Ahlul Bait yang disucikan, semoga Allah merahmati ke atas kamu semua. Apabila aku melihat kamu semua, aku teringatkan Nabi Allah, Muhammad Rasulullah!”.

Abu Dhar, isterinya dan anak perempuannya bertolak ke gurun al-Rabathah. Beliau teringat kata-kata Rasulullah (saw) kepadanya:

“Wahai Abu Dhar! Semoga Allah merahmati ke atas kamu. Kamu akan hidup keseorangan, mati keseorangan, dibangkitkan dari mati keseorangan dan masuk ke alam akhirat keseorangan”.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s